Pelakon dan pengacara, Awal Ashaari memuat naik sebuah posting mengenai arwah ibu mentuanya iaitu Allahyarhamah Junainah binti Hashim yang meninggal dunia pada pagi Sabtu, minggu lalu.
12 tahun bersama
Menurut Awal, dia menganggap ibu mentuanya seperti ibu kandung kerana tidak pernah marah, merungut apatah lagi meminta.
Perginya seorang ibu mentua yang amat saya kasihi. 12 tahun bersama cukup membuatkan saya hormat dan sayangkan mama macam mak saya sendiri.
Seorang yang tidak pernah marah, merungut apatah lagi meminta, segalanya mama balas dengan gelak kecil dan senyuman. Seorang yang pemurah, baik hati dan amat menyayangi keluarga, anak-anak, menantu dan cucu -ucu lebih dari segalanya.
Tambah Awal, dia dan isteri belum sempat membahagiakan arwah.
Kami tak sempat membahagiakan mama, tapi terlalu banyak yang mama korbankan untuk membahagiakan kami. Terima kasih kerana menjadi mama, mentua dan mak tok yang terbaik buat kami semua. Mama dah berpindah ke negeri abadi. Doa kami buat mama dan semoga kita berjumpa di syurga kelak.
Tenanglah dikau disana, Hjh Junainah Hashim. Al-Fatihah.
Sekadar info, arwah telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.40 pagi di Hospital Pantai akibat serangan jantung.