Kehilangan lelaki warga emas sejak 20 hari lalu akhirnya menemui titik noktah selepas mayatnya ditemui orang awam di kawasan Sungai Jeran, Bukit Minampun, Sarawak, kira-kira tiga kilometer (km) dari rumahnya.
Mayat dalam hutan
Memetik laporan Berita Harian, mangsa iaitu Denis Nyawod, 76, yang mengidap demensia (hilang ingatan) itu dilaporkan hilang di Kampung Kakeng, Serian sejak 18 Mei lalu.
Susulan daripada itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dilaksanakan oleh pihak berkuasa di kawasan hutan berdekatan Kampung Kakeng.
Bagaimanapun, operasi tersebut ditamatkan pada 25 Mei lalu selepas lapan hari diaktifkan berikutan tiada sebarang petunjuk ditemui. Namun pada 6 Jun iaitu pada hari Khamis, pihak polis menerima laporan tentang penemuan mayat warga emas di kawasan Sungai Jeran.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (BBP) Serian diarah ke lokasi kejadian.
Setibanya di lokasi, anggota bomba bersama anggota polis, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta penduduk kampung bergerak ke tempat mayat ditemui dengan melalui denai hutan.