Konsert Akon Super Fan Tour Live In Malaysia telah melabuhkan tirai dengan sorakan hangat daripada peminat, pada malam Selasa.
Peminat ‘enjoy’ bersama Akon
Konsert yang dianjurkan oleh Jeeharris Entertainment ini mencipta sejarah dengan menyaksikan dewan Megastar Arena dibanjiri oleh daripada 4,000 peminat Akon di Malaysia.
Persembahan yang berlangsung selama satu jam itu menyaksikan Akon menghiburkan peminat di Malaysia dengan lagu-lagu hitnya seperti Lonely, Smack That, Chammak Challo, Right Now dan banyak lagi.
Bukan sahaja membuat persembahan tanpa henti, Akon juga cukup bertenaga dengan berinteraksi dengan semua peminat. Tidak mahu menghampakan mereka yang hadir ke Konsert Akon Super Fan Tour Live In Malaysia, Akon berganjak dari atas pentas ke hadapan pentas bagi mendekati para peminat selain mengambil telefon pintar mereka untuk merekod momen bersama.
Tak dinafikan, peminat yang hadir seperti ‘kerasukan’ saat melihat Akon berdiri di hadapan mereka dengan jarak yang cukup dekat.
Penganjur luah rasa syukur, gembira konsert dapat sambutan
Dalam pada itu, Akon meluahkan rasa gembira dan teruja kerana berpeluang mengadakan konsert dan bertemu peminat di Malaysia. Dalam ucapannya itu, Akon seakan memberi bayangan akan kembali semula ke Malaysia dalam masa terdekat.
Sementara itu, Harris Baba selaku penganjur meluahkan rasa syukur dan terharu melihat kejayaan konsert Akon Super Fan Tour yang mendapat sambutan hangat oleh peminat di Malaysia.
Saya sangat gembira dan berpuas hati kerana akhirnya selepas 11 bulan, saya dapat berehat. Kami dah rancang nak bawa Akon sejak Januari dan sebenarnya sepanjang tahun jadual Akon penuh. Dan apabila melihat kedua-dua konsert di Kuala Lumpur dan Singapura berjaya, saya lega.
Bukan mudah orang yang baru seperti saya untuk bawa artis antarabangsa ke dua negara. Alhamdulillah, terima kasih kepada team saya dan sesiapa yang terlibat dalam menjayakan konsert ini.
Sekadar info, Konsert Akon Super Fan Tour berlangsung di Malaysia pada 19 November dan seterusnya di Singapura pada 20 November lalu.