Kumpulan rock alternatif, A.C.A.B yang cukup sinonim dengan skinhead dan muzik oi! sejak awal penubuhannya pada 1994 bakal mengakhiri perjalanan muzik mereka selepas 30 tahun dengan mengadakan konsert 30th A.C.A.B Final Concert di Zepp Kuala Lumpur pada 21 Disember depan.
Konsert terakhir
Bertemakan ‘Bring Back The Bootboys’ sebagai simbolik kepada gaya mereka ketika di kemuncak karier, konsert berkenaan juga bakal menghimpunkan anggota asal termasuk menampilkan persembahan istimewa daripada band Eropah, Haymaker.
Penyanyi dan pemain gitar utama, Megat Hafiz, berkata dia bersama anggota kumpulan lain mahu meraikan perjalanan muzik mereka sepanjang 30 tahun menerusi konsert berkenaan.
Katanya, selepas berakhir konsert 30th A.C.A.B Final Concert, masing-masing akan membawa haluan sendiri.
Saya bangga dengan apa yang A.C.A.B sudah buat selama 30 tahun, jadi kami hendak raikannya dengan konsert terakhir di Zepp KL.
Apakah yang lebih baik daripada mengakhiri dengan mereka yang membentuk kita sampai hari ini?
Ada yang tanya kenapa dibubarkan? Jawapannya, A.C.A.B sudah capai matlamat dalam arena muzik tempatan dengan menyatukan pendengar daripada pelbagai latar belakang.
Terima kasih semua atas sokongan sejak dulu, saya harap dapat bertemu semua orang dalam meraikan A.C.A.B untuk kali terakhir.
Megat Hafiz berkata demikian ketika sidang media konsert 30th A.C.A.B Final Concert yang diadakan di Timeless Studio, Mutiara Damansara, pada Selasa.
Bawa 37 lagu
Demi mengubat kerinduan pengikut setia mereka, Megat akan bersama dengan anggota lama dan baharu A.C.A.B yang lain seperti Edy (gitar), Zul (dram), Sham (bes), Azrin (dram), Irfan (dram), Mono (bes) dan penampilan Andy kumpulan Flop Poppy selaku pemain bes.
A.C.A.B menjanjikan ‘setlist’ merangkumi 37 lagu daripada pelbagai album seperti Eastern Oi!, Skinhead 4 Life, Orang Timur, Bangun dan This Is The A.C.A.B yang mula diterbitkan sejak 2006.
Turut dimainkan adalah single ‘hit’ seperti Unite & Fight, We Are The Skins, Streets Of Uptown, Anti-Racist termasuk Demonstration ‘95 Revisited (mini album 2020).
A.C.A.B ditubuhkan pada penghujung 1994 dikenali sebagai kumpulan skinhead dan Oi! Malaysia yang terawal.
Kumpulan itu mencipta jenama, gaya dan genre tersendiri yang dikenali sebagai Eastern Oi!, manakala lagu berjudul Skinhead 4life tersebar ke seluruh dunia sehingga dimainkan beberapa kumpulan dari pelbagai negara termasuklah Eropah dan Amerika Latin.