Pelakon tersohor, Datuk Aaron Aziz terus melebarkan sayapnya dalam dunia perniagaan dengan menjadi rakan kongsi kepada syarikat umrah dan percutian terkenal.
Bantu ramai jemaah & pelancong
Langkah ini menandakan usaha Aaron untuk memberikan perkhidmatan berkualiti kepada masyarakat yang ingin menunaikan ibadah umrah dan menikmati percutian yang bermakna.
Menurut Aaron Aziz, 49, dia memilih untuk bekerjasama dengan Persada Global Holidays kerana reputasi syarikat itu dalam menyediakan pakej umrah dan pelancongan berkualiti tinggi.
Mereka mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan perjalanan, sekali gus berjaya membina kepercayaan ramai pelanggan sejak penubuhannya.
Saya amat teruja untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Persada Global Holidays. Ini adalah peluang bagi saya untuk membantu lebih ramai orang merealisasikan impian mereka, sama ada untuk menunaikan ibadah umrah atau menikmati percutian yang indah.
Sebagai rakan kongsi, Aaron yang terkenal menerusi filem aksi berkata, dia bukan sahaja akan menyumbangkan idea inovatif untuk memperkukuhkan operasi syarikat, malah akan turut terbabit dalam mempromosikan pakej baharu yang mesra keluarga, selesa dan berpatutan.
Menerusi kerjasama ini, Persada Global Holidays akan memperkenalkan beberapa pakej eksklusif yang diinspirasikan oleh pengalaman peribadi saya.
Pakej ini dijangka mendapat sambutan hangat daripada peminat dan masyarakat umum.
Ikon yang mampu tarik perhatian ramai
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Persada Global Holidays Shahir Ibrahim berkata, pihaknya optimis bahawa kerjasama ini akan memperkukuhkan kedudukannya sebagai peneraju industri umrah dan pelancongan di Malaysia.
Datuk Aaron Aziz bukan sahaja seorang figura besar di Malaysia dan Singapura, tetapi juga individu yang mempunyai keperibadian yang sangat dekat dengan masyarakat. Beliau adalah ikon yang mampu menarik perhatian ramai dan pada masa yang sama, membawa mesej yang bermakna.
Kerjasama ini bukan sekadar untuk memperkenalkan jenama, tetapi untuk menginspirasi lebih ramai umat Islam menunaikan umrah dengan penuh makna. Malah, apa yang istimewa, tagline ‘Umrah itu Mudah’ yang kini menjadi misi utama kami adalah cadangan daripada Aaron sendiri.
Ia mencerminkan pemahaman mendalam beliau terhadap visi kami bahawa perjalanan umrah ini bukan hanya tentang ibadah, tetapi juga tentang kemudahan, keselesaan, dan keikhlasan.
Dengan pengaruh dan nilai positif yang beliau bawa, kami yakin lebih ramai yang akan memahami dan merasakan bahawa impian ke Tanah Suci itu adalah sesuatu yang mudah dicapai. Kerjasama ini, insyaAllah, adalah langkah untuk membawa kebaikan kepada lebih ramai.