Pengacara dan pelakon Datuk AC Mizal meluahkan rasa bangga apabila pelakon senior, A Galak menerima pengiktirafan Anugerah Khas Sepanjang Zaman di Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) yang berlangsug pada Sabtu lalu.
Banyak belajar
Menerusi hantaran di Instagram, AC memberitahu, dia banyak mempelajari ilmu lakonan terutama babak berlawan daripada A Galak.
Tahniah abang A Galak, terharu saya sebab kami bekerjasama lama dan dia banyak mengajar saya berlakon especially dalam scene fighting.
Setiap hari kami bergelak ketawa dalam drama Roda-Roda Kuala Lumpur dan Gerak Khas.
Dia adalah kawan dan juga figura bapa saya. Abang A Galak sentiasa menasihati saya dan berkongsi pengalaman.
Dia seorang yang sangat disiplin dan sentiasa kemas di dalam dan luar set. Komitment kerja yang sangat tinggi.
Kenangan bersama
Pada perkongsian yang sama, AC turut mengimbau kenangan dia bekerjasama dengan aktor berusia 84 tahun itu ketika mereka bersama-sama menjayakan drama Gerak Khas.
Masih ingat lagi kami berlari mengejar penjahat di belakang lorong pejabat skop production sampai ke pagi dan saya selalu fikir kalau abang A Galak boleh buat takkan saya tak boleh.
Banyak kenangan saya bersama dia terutama bila saya undur diri dari Gerak Khas masih terbayang dia menangis bersama saya seperti satu kehilangan besar sahabat, rakan kerja dan bapa kepada saya.
I love you abang A Galak dan memang sepatutnya abang A Galak penerima anugerah ini. Semoga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki. Tahniah! Kata-kata terakhir abang Galak, sungguh bermakna buat saya.
Terdahulu, A Galak menerima pengiktirafan Anugerah Khas Sepanjang Zaman di FFM33 yang berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, malam Sabtu.
Menurut A Galak atau nama sebenarnya Zakaria Ahmad 84, ini merupakan anugerah pertama selepas 60 tahun berkecimpung dalam industri seni hiburan.