Penyanyi dan pelakon terkenal Indonesia, Acha Septriasa mengucapkan terima kasih dan memberi pujian kepada penyanyi Mahalani yang berjaya merakamkan semula lagu berjudul ‘Sampai Menutup Mata’.
‘Lebih powerful’
Acha selaku penyanyi asal berkata, Mahalani berjaya membawa lagu tersebut ke satu tahap yang berbeza sehingga membuatkan bulu romanya berdiri ketika mendengar.
Mahalani, terima kasih kerana sudah menyanyikan lagu ini (Sampai Menutup Mata), saya boleh mendengar lagi lagu ini setelah sekian lama tidak mendengar.
Jujur saya katakan, banyak kenangan tentang lagu ini dari saat awal saya berkarier sebagai penyanyi untuk runut filem (OST).
Banyak yang dipertahankan dari lagu ini, awak mampu membuatnya lebih powerful, berbeza dan bahagian-bahagian tertentu benar-benar buat saya merinding (meremang).
Acha berkata demikian menerusi komen yang ditinggalkan di muzik video ‘Sampai Menutup Mata’ versi Mahalani di YouTube.
Dalam pada itu, Acha berkata, dia amat mengagumi bakat yang dimiliki Mahalani sejak penyanyi berusia 20 tahun itu muncul dalam industri muzik.
Sejak nama awak wujud dalam industri muzik, awak salah seorang jaguh saya. Awak lah pemilik ‘Sampai Menutup Mata’, I love you Mahalani.
Sekadar info, lagu Sampai Menutup Mata merupakan ciptaan komposer dan penyanyi terkenal, Melly Goeslow.
Lagu yang sudah berusia 18 tahun itu merupakan salah satu lagu bagi runut filem My Heart.