“Ada orang sampai letak makanan tidak halal dalam mulut ketika saya puasa, tetapi saya tidak telan, terus buang (keluarkan dari mulut) saja.”
Itulah kongsi yang dibuat oleh selebriti media sosial, Maryam You Narae, atau lebih dikenali sebagai Maryam Durian Kimchi, ketika menceritakan detik-detik awal beliau bergelar mualaf lima tahun lalu di negara kelahirannya, Korea Selatan.
Tatkala berhadapan dengan situasi yang mengejutkan itu, Maryam, 32 tahun, menunjukkan ketenangan dan kesabaran, sedar akan kebiasaan yang berbeza di negaranya.
Memetik laporan penuh dari portal Sinar Harian, Maryam memaklumkan bahawa kebanyakan orang di Korea Selatan tidak mempunyai pegangan agama Islam seperti di Malaysia.
“Saya bekerja di hospital pada masa itu. Mereka memberi makanan kepada saya kerana sayang kepada saya. Bila saya menolak makanan itu, mereka kurang faham. Akhirnya, saya memberikan isyarat bahawa saya tidak boleh makan dan terus membuang makanan tersebut. Bayangkan kalau saya tidak cukup kuat, mungkin saya sudah menelannya,” katanya.
Pengalaman itu membuktikan ketabahan Maryam, bekas ahli fisioterapi, yang mampu menahan godaan walaupun makanan sudah berada di dalam mulutnya. Baginya, keberanian itu menjadi satu pencapaian yang membanggakan.
“Jika di Malaysia, semua orang mengetahui tentang Ramadan, puasa, dan memahami Islam. Oleh itu, tidak boleh dibandingkan dengan negara lain,” tambahnya.
Kisah Maryam Durian Kimchi mencerminkan ketabahan seorang mualaf dalam menghadapi ujian dan cabaran, serta keazaman untuk memegang teguh prinsip agama walaupun dihadapkan dengan situasi yang mencabar. Semoga pengalaman dan kesabaran beliau menjadi inspirasi buat banyak orang dalam menghadapi ujian kehidupan.