Nama pelakon negara seberang, Aditya Zoni dan pempengaruh Malaysia, Yasmine Ow menjadi bualan hangat netizen di media sosial selepas rumah tangga pasangan itu didakwa sedang berantakan.
Minta Aditya jadi suami bertanggungjawab?
Desas-desus mengenai keretakan hubungan Aditya dan Yasmine mula tercetus selepas pasangan itu dilihat sudah tidak lagi berkongsi momen bersama mereka di media sosial. Sedangkan sebelum ini, mereka kerap meluangkan masa bersama-sama termasuk membuat konten di Youtube.
Bukan itu sahaja, Yasmine juga pernah memuat naik beberapa hantaran di Instagram berhubung ayat-ayat sedih tentang sebuah hubungan. Lebih mengejutkan ramai apabila Yasmine secara terbuka meminta Aditya menjadi seorang suami yang bertanggungjawab.
Tidak lama selepas itu, tindakan Yasmine yang pulang ke Malaysia bersama anaknya sekali lagi mencetuskan perhatian ramai yang beranggapan bahawa pasangan itu sudah membawa haluan masing-masing.
Enggan beri kenyataan
Meskipun begitu, Aditya dan Yasmine tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan tersebut. Malah Aditya berkali-kali menegaskan bahawa rumah tangganya berada dalam keadaan baik dan tujuan isterinya itu pulang ke Malaysia adalah untuk bertemu dengan keluarga.
Menerusi temu bual terbaharu, Aditya berkata dia enggan mengulas lebih lanjut berhubung khabar angin perceraiannya sebaliknya dia meminta agar orang ramai memberikan masa untuk mereka menjelaskan situasi sebenar.
InsyaAllah nanti kita berjumpa di tempat yang lebih sesuai. Bila tiba waktunya, saya akan memberikan kenyataan. Mungkin dalam masa terdekat ini.
Sekadar info, Aditya Zoni dan Yasmine Ow berkahwin pada Disember 2021 dan hasil perkahwinan tersebut, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki.