Biarpun sudah 17 tahun berlalu, namun kisah tragis menimpa seorang kanak-kanak bernama Nurin Jazlin masih segar dalam ingatan rakyat Malaysia terutama keluarga Allahyarham.
Birthday ke-25
Menerusi hantaran di TikTok, adik kepada arwah yang dikenali sebagai Nurin Jazlisa menitipkan ucapan selamat ulang tahun kelahiran ke-25 buat arwah.
Kata Jazlisa, dia dan keluarga tidak putus mendoakan arwah dan kenangan bersama tidak pernah luput di ingatan.
11.9, genap umur kak ngah (Nurin Jazlin) 25 tahun. Selamat hari lahir kak ngah, kami sekeluarga sentiasa mendoakan kak ngah. Kak ngah sentiasa dalam ingatan kami.
Dalam pada itu, Jazlisa turut meminta orang ramai mengirimkan doa buat arwah.
Minta semua sedekahkan al-Fatihah buat kak ngah.
Sementara itu, rata-rata wargamaya yang singgah ke ruangan balas turut berasa sebak dan tidak menyangka begitu cepat masa berlalu kerana sudah 17 tahun arwah pergi menemui Ilahi.
Imbas kembali, pada 20 Ogos 2007, Allahyarham Nurin Jazlin dilaporkan hilang selepas didakwa telah diculik ketika dia meninggalkan rumah sendirian untuk menuju ke pasar malam di Wangsa Maju.
Berita sedih menyusul apabila Allahyarham ditemui dalam keadaan tidak bernyawa pada 17 September 2007. Lebih kejam, mayatnya diletakan di dalam sebuah beg sukan tanpa seurat benang di Petaling Jaya.
Penemuan tersebut telah membawa kepada siasatan lanjut dan hasil pemeriksaan memaklumkan bahawa kanak-kanak malang itu telah dirogol dan dibunuh.
Bagaimanapun, identiti perogol dan pembunuh masih bebas dan kes berkenaan juga belum selesai sehingga ke hari ini.