Menjelangnya musim panas Eropah, data platform pelancongan digital Agoda mandapati Asia telah menjadi pilihan utama para pelancong antarabangsa dari Eropah.
Populariti Asia Makin Meningkat
Destinasi di Asia bukan sahaja berada di kedudukan paling popular di luar Eropah, malah popularitinya juga semakin meningkat berbanding dengan tahun lepas, yang mana Agoda telah mencatatkan 52% peningkatan dalam jumlah carian penginapan oleh pelancong Eropah untuk bercuti ke Asia.
Menurut data Agoda, destinasi paling popular di Asia bagi pelancong Eropah ialah Thailand, Indonesia dan Jepun, diikuti oleh Malaysia dan Filipina.
Ini menunjukkan daya tarikan destinasi Asia untuk para pelancong Eropah dengan pelbagai minat yang berbeza.
Sama ada mereka mahu menerokai jalan-jalan yang meriah dan tapak bersejarah di Bangkok atau meluncur ombak di pantai Bali, pelancong Eropah bersedia untuk mempertimbangkan apa yang ditawarkan di Asia.
Malaysia Berada Di Kedudukan Ke 4
Pasaran Eropah dengan jumlah carian tertinggi untuk percutian ke Asia ialah United Kingdom, Perancis, Jerman, Sepanyol dan Belanda.
Malaysia berada di kedudukan ke-4 sebagai destinasi paling popular di Asia untuk pelancong Eropah.
Carian tertinggi bagi penginapan di Malaysia dilakukan oleh pelancong dari Perancis, diikuti oleh pelancong dari Itali, United Kingdom, Sepanyol dan Belanda.
Kuala Lumpur, Langkawi dan Pulau Redang adalah destinasi di Malaysia yang mendapat jumlah carian tertinggi oleh pelancong Eropah.
Destinasi-destinasi tersebut menawarkan pelbagai aktiviti liburan, pengembaraan dan kebudayaan yang menarik kepada pelancong yang ingin memanfaatkan percutian musim panas jarak jauh mereka sepenuhnya.