Belum lagi reda kesedihan meratapi pemergian bapa saudara iaitu Allahyarham Datuk S Atan pada minggu lalu, maestro muzik terkenal, Datuk Ramli MS akui sedih kehilangan seorang lagi mentor dalam industri, Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab.
‘Mentor saya’
Ramli, 66, berkata, arwah Ahmad Nawab merupakan seorang figura yang banyak memberi tunjuk ajar kepadanya tentang muzik dan amat menyayangi dirinya.
Saya belum habis bersedih, seminggu selepas itu kawan atau saya anggap mentor, Ahmad Nawab pula meninggal dunia.
Arwah Ahmad Nawab adalah mentor saya, saya mula bertapak dalam industri tahun 1981 dan mula bekerja dengan arwah pada tahun 1983.
He loves me so much (amat meyanyangi saya), kenapa saya kata begitu? Dulu ketika kami sama-sama buat album, kalau saya tidak lapang dia tidak akan mulakan rakaman, dia akan tunggu saya.
Kalau masuk studio rakaman, arwah akan bayar saya lebih. Dia bagi lagi saya hadiah. Saya belajar banyak daripadanya, apa itu kromosom muzik.
Ramli berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui di sidang media konsert minggu pertama Gegarvaganza musim ke-11 (GV11) yang berlangsung di Auditoriam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), pada Ahad.
Dalam pada itu, Ramli atau mesra disapa Tok Ram memuji karya yang dihasilkan arwah Ahmad Nawab yang disifatkan sebagai ‘mega’ atau hebat.
Karya arwah semua senang, tetapi sampai sekarang orang semua ingat. Kita pejam mata pun tahu itu adalah lagu dia. Identiti arwah dalam menghasilkan lagu sangat mega, sangat kuat.
S Atan beri peluang
Sementara itu, Ramli turut berkongsi mengenai pembabitan awalnya dalam industri muzik yang didorong oleh arwah bapa saudaranya, Allahyarham Datuk S Atan ketika usia masih remaja.
Pak cik saya (S Atan) adalah orang pertama yang beri saya peluang untuk ke depan (profesional muzik) ketika usia saya 15 tahun.
Dia lihat saya ketika umur itu seperti ada sesuatu (kebolehan) yang boleh dikembangkan.
Peluang yang dia beri itu sangat berat sebenarnya, tetapi dia suruh saya lawan. Kalau tiada tunjuk ajar arwah, saya tiada di sini.
Allahyarham Ahmad Nawab disahkan meninggal dunia di kediamannya di Taman Melewar, Batu Caves di sini, pada jam 3.15 petang Ahad.
Berita sedih pemergian Allahyarham Ahmad Nawab atau nama penuh, Ahmad Khan Nawab Khan itu disahkan cucunya, Khairul Hafis Khan.
Pada 16 November lalu pula, maestro muzik, Datuk S Atan atau nama sebenar, Hashim Said, 75, meninggal dunia di kediamannya di Kajang, akibat jangkitan kuman paru-paru.