Penyanyi Aina Abdul mendedahkan kos penganjuran konsert ‘Aina Abdul Imaji Tour’ yang bakal berlangsung di tiga buah lokasi ditanggung sendiri oleh syarikat miliknya iaitu Aina Abdul Entertainment.
Keluar duit sendiri
Demi kepuasan peminat, Aina atau nama lengkapnya Nurul Aina Abdul Ghani, 31, berkata, dia tidak mahu berlaku percanggahan hala tuju konsert sekiranya semberono menerima tajaan dari mana-mana pihak.
Saya sanggup keluarkan kos sendiri untuk anjurkan konsert Imaji Tour seperti mana konsert A Night With Aina Abdul 1.0 dan 2.0 sebelum ini, tiada tajaan langsung. Semua ditanggung oleh Aina Abdul Entertainment.
Susah untuk mendapat tajaan bukan atas faktor wang sahaja, tetapi disebabkan percanggahan dari segi konsep dan hala tuju Imaji Tour, antara pihak yang ingin menaja dan pihak saya.
Saya tidak mahu jika berlaku risiko lain sekiranya menerima terus mana-mana pihak yang ingin menaja, risau akan menggangu kebajikan pekerja saya. Mahu semua orang gembira dan puas untuk buat Imaji Tour.
Apa yang boleh saya kongsikan, setiap lokasi yang akan saya pergi kos yang dikeluarkan mencecah enam angka.
Aina memaklumkan mengenai perkara itu ketika ditemui di sidang media pengumuman konsert Aina Abdul Imaji Tour yang berlangsung di ibu kota, baru-baru ini.
Hampir putus asa
Dalam pada itu, pemenang tiga kali vokal terbaik Anugerah Juara Lagu ini berkata, dia hampir berputus asa dan tidak mahu meneruskan perancangan untuk menganjurkan konsert berkenaan.
Sebenarnya, saya hampir berputus asa untuk anjurkan konsert ini. Saya cakap dengan pasukan saya selepas Syawal lalu, malas dah nak rasa kecewa lagi. Tetapi mereka yakinkan saya, ada tulang belakang yang cukup kuat.
Tulang belakang saya suka lihat saya buat persembahan, kerana ketika saya perform saya akan terlihat gembira. Saya tidak pandai sorokkan kesedihan. Terima kasih pasukan saya kerana paksa saya buat.
Saya berdepan cabaran untuk menganjurkan konsert ini, tidak mahu satu lokasi, mahu lebih daripada satu. Sebab itu salah satu tujuan saya lancarkan album. Agak lama juga persiapan yang diambil untuk konsert Imaji Tour ini, lebih kurang setahun.
Saya cakap dengan pasukan, tak kisah kalau tak dapat banyak lokasi, asalkan ada tempat untuk saya bernyanyi.
Konsert Aina Abdul Imaji Tour bakal singgah ke tiga lokasi iaitu di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 14 Disember, ZEPP KL pada 27 Disember dan Universiti Utara Malaysia (UUM) Kedah pada 11 Januari.
Tiket sudah mula dijual pada 9 September 2024 jam 10 pagi di www.ticket2u.com.my.