Air mata penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Seri Rossa, 45, mengalir ketika mendengar perkongsian eksklusif yang dilakukan oleh satu-satunya anak tunggalnya, Rizky Langit Ramadan dalam filem dokumentari All Access to Rossa 25 Shining Years.
‘Ku Menangis…’
Menurut Rossa, bukan satu perkara yang mudah untuk memujuk anak lelakinya yang berusia 18 tahun itu untuk bersetuju terlibat secara langsung dalam pembikinan filem tersebut kerana sifatnya yang pemalu dan lebih selesa berada di belakang tabir.
Dia pemalu dan tidak banyak bercakap. Malah sejak dahulu lagi dia juga tidak ke depan memandangkan saya tidak terlalu dedahkan Rizky kepada rakan media yang mahu menemu bualnya.
Ramai yang sedia maklum dan menghormati permintaan saya itu dan Rizky juga senang dengan cara sedemikian.
Cuma kali ini, saya ada beritahunya untuk menghasilkan sebuah filem dokumentari ini dan bertanya adakah dia terbuka sekiranya produksi ingin bertanya beberapa soalan. Dia jawab okay tetapi mahu menjawabnya dengan jujur tanpa skrip.
Rossa berkata demikian ketika ditemui pada Malam Gala Tayangan All Access to Rossa 25 Shining Years di Plaza Indonesia, baru-baru ini.
Berkongsi lebih lanjut, pelantun lagu Ayat Ayat Cinta ini berkata dia hanya mengetahui mengenai pendedahan yang dibuat Rizky ketika melakukan sesi suntingan bersama pihak produksi.
Saya juga tiada bersamanya ketika itu kerana masing-masing menjalani penggambaran sendiri. Jadi saya tidak tahu apa yang diberitahu oleh setiap individu terdekat, termasuk bekas suami.
Jadi saya terkejut ketika tahu mengenai perkara itu waktu fasa suntingan awal. Saya menangis kerana selalunya kami akan hanya berkongsi rasa sebagai ibu dan anak dari luar lensa sahaja.
Jadi apabila Rizky meluahkan secara formal di set, perasaannya itu rasanya sangat berbeza. Menerusi filem inilah, saya baru tahu apa pandangannya mengenai diri saya. Rasa syukur dan terharu.
Untuk info, Rizky ialah anak hasil perkongsian hidup Rossa bersama ahli kumpulan Padi, Yoyo atau nama sebenarnya, Surendro Prasetyo, 48.
Mereka mendirikan rumah tangga pada pada 18 Mac 2004, namun bercerai lima tahun kemudian.
All Access to Rossa 25 Shining Years
Dalam pada itu, Rossa berharap filem dokumentari pertamanya yang mengisahkan perjalanan karier seni sepanjang 25 tahun sebagai penyanyi mendapat sambutan baik daripada orang ramai.
Terima kasih kepada keseluruhan krew produksi yang berjaya mempersembahkan filem ini secara jelas mengenai perjalanan seni saya selama ini.
Mudah-mudahan All Access to Rossa 25 Shining Years tidak akan membosankan penonton dan semoga kalian dapat menikmati setiap momen yang disajikan di dalam naskhah ini.
All Access to Rossa 25 Shining Years arahan Ani Ema Susanti diterbitkan oleh Inspire Pictures bersama Sinemaku Pictures dan Time International Films telah menjengah pawagam seluruh Indonesia bermula 1 Ogos lalu.
Di sebalik pencapaiannya sebagai antara diva pop Indonesia, filem ini bakal memperlihatkan sisi peribadi kehidupannya yang jarang diketahui peminat sepanjang bergelar anak seni dan juga ibu kepada seorang cahaya mata.
Filem ini juga dijangka bakal menemui penonton di Malaysia sekitar September depan.