Pada 17 Jun 2024, para ‘kaki travel’ kini mempunyai lebih banyak sebab untuk melancong, kerana AirAsia telah mengumumkan penyambungan semula penerbangan ke destinasi popular iaitu Pattaya, Thailand. Harga tiket mampu milik, serendah RM99, membuka peluang kepada pengembara yang ingin menerokai keindahan alam semula jadi, budaya dan unik Pattaya.
AirAsia memperkenalkan tiga penerbangan mingguan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada pelanggan setianya yang sentiasa mencari pengalaman perjalanan yang tidak dapat dilupakan. Keputusan untuk membuka semula laluan ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelancong tempatan, tetapi juga menghidupkan semula industri pelancongan di Pattaya.
Penyambungan semula laluan ke Pattaya ini menandakan laluan terus kesembilan syarikat penerbangan ini ke Thailand dari Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang selepas pandemik selain Bangkok (Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang), Bangkok (Lapangan Terbang Suvarnabhumi), Krabi, Chiang Mai, Phuket dan Hatyai.
Pengumuman ini juga tepat pada masanya berikutan pelancaran kempen ‘Takeover Thailand’ baru-baru ini oleh AirAsia untuk mempromosikan Thailand sebagai destinasi pelancongan pilihan untuk pengembara dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan lain-lain.
Destinasi ini menawarkan pelbagai tarikan seperti keindahan pantai Koh Larn, kemeriahan Pasar Terapung Pattaya dan banyak lagi. Pada tahun 2019, AirAsia telah menerbangkan lebih daripada 60,000 pengembara antara Kuala Lumpur dan Pattaya.
Pembukaan semula laluan penerbangan ke Pattaya oleh AirAsia membawa berita baik untuk penggemar pelancongan.
Dengan harga yang berpatutan, perkhidmatan berkualiti tinggi dan jadual yang fleksibel, AirAsia sekali lagi mengesahkan kedudukannya sebagai salah satu syarikat penerbangan pilihan. Rancang perjalanan anda ke Pattaya sekarang dan nikmati keindahan dan keseronokan yang ditawarkan oleh destinasi yang menakjubkan ini.
Tambang promosi ini boleh didapati untuk tempahan di airasia.com dan AirAsia MOVE (sebelum ini dikenali sebagai airasia Superapp).