Pempengaruh dan pelakon Aizat Saha akui gementar untuk beraksi di depan penonton bagi menjayakan pementasan teater Andak Bertandak yang bermula Khamis.
Cabar diri
Aizat berkata, sebagai pendatang baharu dalam dunia lakonan, dia nekad mencabar diri untuk membuktikan kemampuan dirinya sebagai pelakon.
Saya memang minat dengan bidang lakonan dan tak sangka dapat tawaran terbabit dalam pementasan teater Andak Bertandak.
Saya anggap peluang ini sebagai satu penanda aras untuk melihat sejauh mana kemampuan saya dalam lakonan.
Saya sangat gementar untuk menunggu hari pementasan kerana proses yang perlu saya lalui nanti cukup berbeza dengan penggambaran drama.
Tambah pula teater ini perlu ada daya ingatan yang kuat selain tenaga yang cukup untuk menjayakan watak diberi.
Dalam pada itu, Aizat yang memegang watak Zali berkata, biarpun terikat dengan jadual kerja yang padat, dia tetap memberikan sepenuh komitmen untuk memberikan persembahan terbaik.
Sebenarnya saya sedang sibuk dengan sesi penggambaran sebuah drama bersiri, tapi saya cuba membahagikan masa sebaik mungkin untuk menghadiri sesi latihan.
Saya akui seronok dapat belajar banyak ilmu baharu dengan pelakon berpengalaman seperti Azhan Rani dan Ellie Suriaty.
Walaupun adakalanya saya agak tertekan untuk menjayakan watak doktor Zali, tapi Azhan, Ellie dan pelakon lain sentiasa memberi tunjuk ajar.
Teater Andak Bertandak dipentaskan pada 29, 30, 31 Ogos dan 1 September ini di Pentas 2, The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC).
Pementasan teater Andak Bertandak ini diarahkan oleh Azhar Zainal dan skrip oleh Fasyali Fadzly yang juga Dekan Fakulti Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
Selain Riena, teater itu turut membariskan pelakon seperti Azhan Rani, Ellie Suriaty, Jay Iswazir, Dottie, Aizat Saha, Fadhli Masoot dan Razman Mahayuddin.
Teater Andak Bertandak berkisarkan mengenai kehidupan keluarga Andak serta masyarakat di sebuah kampung yang percaya kepada perkara tahyul sehingga menolak perubatan moden tanpa sebab yang munasabah.