Pempengaruh media sosial dan pencipta kandungan, Aizat Saha mendedahkan telah menceburkan diri dalam bidang lakonan.
Aizat Saha kini bergelar pelakon
Ketika ditemui , Aizat Saha atau juga dikenali sebagai Abang POV berkata, dia kini sedang menjalani penggambaran drama Racun Rihanna yang bakal ditayangkan di TV3. Meskipun masih berkhidmat sebagai pramugara di sebuah syarikat penerbangan terkemuka, tetapi ianya langsung tidak menghalang Aizat untuk meneruskan minatnya sebagai pelakon.
Saya punya jadual kerja tidaklah begitu padat. Saya cuba seimbangkan antara kerjaya sebagai pramugara dan pelakon. Cuma sekarang, saya lebih memilih apa yang mendatangkan hasil buat saya untuk jangka masa yang panjang.
Dalam industri lakonan tempatan, Aizat menjadikan Bront Palarae sebagai idolanya malah dia juga memasang impian dan berharap agar suatu hari nanti dia diberi peluang untuk bergandingan bersama pelakon hebat itu.
Apabila ditanya mengenai perancangannya pada masa hadapan, Aizat akui dia telah lama menyimpan impian untuk menjadi seorang pelakon namun sebelum ini dia tidak berpeluang memasuki industri seni tempatan meskipun pernah melalui beberapa casting.
Memang saya ada bercadang untuk menjadikan bidang lakonan sebagai kerjaya sepenuh masa tetapi saya perlu menitikberatkan keadaan pada masa akan datang terlebih dahulu. Jika rezeki memang dah ke arah situ, saya akan fokus ke situ lah.
Sekadar info, Aizat Saha bakal muncul di kaca televisyen TV3 menerusi drama Racun Rihanna yang turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Intan Najuwa, Jasmine Suraya, Rita Rudaini dan ramai lagi.