Penyanyi dan komposer terkenal, Ajai mendedahkan vokalis kumpulan Exists iaitu Mamat merupakan seorang yang sangat bagus dalam memberikan komitmen ketika bekerja bersama ahli kumpulan yang lain.
Sangat komited
Ketika ditemui , Ajai atau nama sebenarnya Mohd Faizal Maas berkata, Mamat merupakan seorang yang sangat berdisiplin dan sangat menepati waktu setiap kali menghadiri ‘rehearsal’.
Dia seorang yang sangat bagus dalam memberi komitmen. Dia sangat bagus sebab bila dengan kami, dia sangat berdisiplin.
Dia tahu kerjaya dia, selalu datang latihan dan ‘rehearsal’. Tapi kami faham ‘temperature’ dia akan berubah-ubah, kita doakan dia.
Ajai berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sidang media program realiti Gimme The Mic yang diadakan di The Bee, Publika, pada petang Khamis.
Dalam pada itu, pelantun lagu ‘Cinta Mencintai Kita’ ini memaklumkan dirinya dan anggota-anggota Exists yang lain selalu memainkan peranan untuk membantu Mamat berubah daripada terjebak dengan gejala dadah.
Sebenarnya kami selalu cuba membantu dia untuk berubah dan kalau kalian tengok sekarang, muka dia dah fresh. Dan sebenarnya kes dia ini bukanlah satu kes yang baru cuma ia ditunda sebab ada banyak konsert Exist sebelum ini.
Sehinggalah selepas selesai konsert orkestra tempoh hari, barulah Mamat selesaikan kes mahkamah dia ini.
Sekarang ini Mamat perlu berehat selama enam bulan dan selepas itu baru dia boleh sertai kami semula. Pintu selalu terbuka untuk dia.
Kita sama-sama doa agar Allah berikan hidayah supaya dia sedar dan tinggalkan benda itu (dadah) dengan sebetulnya.
Terdahulu, Ajai memberikan pandangannya terhadap pandangan yang dikeluarkan ahli kumpulan Exists, Musa mengenai Mamat yang mengaku bersalah memasukkan dadah dalam badan pada tahun 2019 lalu.
Menurut Ajai, dia percaya bahawa kesilapan yang berlaku itu datangnya daripada diri sendiri dan setiap kekhilafan yang berlaku tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak lain.
Imbas kembali, Musa Exists memaklumkan terdapat seorang peguam menyarankan penyanyi tersebut keluar dari kampungnya supaya kawan-kawan lamanya tidak mencarinya lagi.
Menurut Musa, sangat sukar untuk Mamat pulih kerana ‘kawan-kawan lamanya’ datang mencari di saat dia mula bersedia untuk berubah.