Penyanyi dan komposer, Ajai memberitahu dia sudi membantu Hafiz Suip untuk menaikkan semula namanya dalam indsutri tanah air.
Sudi bantu Hafiz
Menurut Ajai atau nama sebenarnya Mohamad Faizal Maas, 49, tangannya sentiasa terbuka luas menyambut ‘kepulangan’ Hafiz yang mahu membuat kemunculan semula selepas tiga tahun menyepi.
Sudah pasti saya terbuka hati untuk bantu naikkan semula nama Hafiz, ‘the door always open’.
Saya tidak pernah paksa Hafiz mahupun sesiapa penyanyi untuk mencuba kelainan dalam kerjaya mereka.
Ajai berkata demikian ketika ditemui usai Konsert By Ajai and Mega Friends yang berlangsung di Mega Star Arena, Plaza Sungai Wang, baru-baru ini.
Konsert tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan Hafiz menerusi dua lagu iaitu ‘Ku Akui’ dan ‘Tak Mungkin Kerana Sayang’.
Berkongsi lebih lanjut, Ajai menyifatkan pelantun lagu ‘Awan Nano’ itu sebagai penyanyi yang profesional meskipun timbul beberapa khabar angin dia sedang diuji dengan masalah.
Orang kata dia ada masalah, tapi apa yang saya lihat dia beri komitmen yang sangat bagus untuk konsert saya.
Hafiz ini yang saya kenal dia seorang yang sangat profesional biarpun ada beberapa masalah yang dihadapinya.
Saya pesan pada dia jangan sayang manusia lebih daripada Allah. Saya kata jangan tinggalkan kerjaya.
Dia seorang penyanyi yang hebat, apabila menyanyi dia akan menghayati lagu itu baik dan mendalam, sepenuh hatinya. Dia sangat bagus.