Penyanyi dan komposer, Aina Abdul meluahkan rasa syukur apabila dapat mempertahankan anugerah Vokal Terbaik selama tiga tahun berturut-turut di Anugerah Juara Lagu (AJL).
Pertahankan vokal terbaik
Ketika ditemui , Aina berkata di sebalik kejayaan tersebut dia telah melalui fasa yang panjang dengan menuntut ilmu vokal daripada beberapa guru demi mendapatkan mutu suara yang berkualiti.
Menurutnya, dia bersyukur segala pelajaran dan didikan yang diberikan oleh gurunya dapat diguna pakai dalam setiap persembahan.
Saya bersyukur dan gembira apabila dapat pertahankan vokal terbaik. Tapi ada satu cerita yang ingin saya kongsikan, perjalanan seni vokal saya sebenarnya telah mengambil masa dan tenaga yang banyak.
Ramai tenaga pengajar yang membantu saya daripada awal pembabitan saya, bermula dengan masuk kelas vokal sejak SPM lagi.
Sepanjang perjalanan itu bersama guru-guru yang hebat akhirnya memberikan saya satu bekalan yang boleh dipegang. Jadi anugerah Vokal Terbaik ini untuk semua guru yang banyak mengajar saya.
Terima kasih juga pihak juri yang memilih saya sebagai pemenang vokal dan saya percaya banyak bakat yang saya kagumi terutama Ernie dan Marsha.
Aina berkata demikian ketika ditemui pada sidang media AJL 38 yang berlangsung di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, pada Ahad.
Terdahulu, lagu Hasrat nyanyian Amir Jahari diumumkan sebagai juara AJL 38 sekali gus membawa pulang trofi dan wang kemenangan berjumlah RM100,000.
Dalam pada itu, lagu Sutera nyanyian Aisha Retno diangkat sebagai naib jura dan berjaya membawa pulang trofi serta wang tunai RM50,000. Aisha juga diumumkan sebagai pemenang Persembahan Terbaik dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM12,000.
Menduduki tempat ketiga pula adalah lagu Jangan Mati Rasa Itu nyanyian dan ciptaan sepenuhnya Aina Abdul, sekali gus menerima wang tunai RM30,000 berserta trofi. Aina turut membawa pulang trofi Vokal Terbaik dengan membawa pulang trofi dan wang tunai RM12,000.