Penyanyi Aisha Retno tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang meskipun lagu Sutera sering disebut-sebut mempunyai potensi besar untuk memenangi Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) yang bakal berlangsung di Axiata Arena pada Ahad ini.
Tak letak harapan tinggi
Menurut Aisha atau nama sebenar Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 23, ini kali pertama dirinya bersaing di pentas berprestij dan tidak tahu kekuatan yang bakal ditampilkan kesemua 11 finalis lain.
Saya tak nak terlalu yakin apabila ramai yang memperkatakan lagu Sutera mempunyai peluang besar untuk AJL38.
Ini kerana, saya sendiri pun tak tahu apakah senjata yang bakal dibawakan finalis lain nanti.
Namun apa yang penting sekarang ini adalah memberikan persembahan terbaik selain memperkenalkan lagu Sutera kepada lebih ramai pencinta muzik yang mungkin tidak tahu mengenai lagu ini.
Soal menang atau tidak saya serahkan kepada kuasa juri untuk menentukan lagu mana yang layak diangkat sebagai juara AJL38 pada Ahad ini.
Aisha berkata demikian semasa ditemui di sesi raptai AJL38 di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.
Persiapan siap 90 peratus
Berkongsi tentang persiapan menuju hari pertandingan, Aisha akui masih belum merasai sebarang tekanan dan bersyukur persiapannya sudah 90 peratus siap.
Setakat ini persiapan sudah siap sebanyak 90 peratus. Kini tinggal untuk mencantikkan persembahan saya nanti kerana bakal menampilkan 22 penari pada hari kejadian.
Saya pun tak sabar untuk melihat apa keunikan yang bakal dihidangkan finalis lain pada hari Ahad ini.
Saya pun masih ingat lagi kata-kata Hael Husaini yang memberitahu AJL ini adalah satu perayaan buat komposer dan penulis lirik. Jadi saya nak buat yang terbaik.
Selain itu, Aisha memberitahu dia melantik penyanyi Yuka Kharisma sebagai ketua bahagian kreatif yang akan membantu perjalanannya ke AJL38 termasuk konsep persembahan yang bakal dibawakan nanti.