Ramai rakyat Malaysia, termasuk artis, aktivis dan pemimpin negara, telah memilih untuk bersuara mengenai isu Palestin sebagai bentuk sokongan terhadap hak rakyat Palestin atau sebagai bentuk kritikan terhadap dasar tertentu.
Keberanian ini selalunya melibatkan risiko dari sudut profesional atau peribadi, terutamanya jika ia bertentangan dengan pendapat majoriti.
Hal ini terjadi kepada penyanyi, Kaka Azraff berikutan kelantangannya mengenai isu Palestin. Dalah sebuah tangkap layar yang tersebar, Kaka menulis mesej mengenai Israel dengan penggunaan kata yang kasar di media sosial.
Kaka Azraff merupakan seorang artis yang sangat berbakat- Warner Music
Tindakan itu telah membuatkan Syarikat rakaman, Warner Music telah memutuskan untuk menamatkan kontraknya. Dalam pada itu, Warner Music telah buka mulut mengenai penamatan kontrak tersebut.
“Kaka Azraff merupakan seorang artis yang sangat berbakat tetapi malangnya, kami terpaksa berpisah dengannya disebabkan penggunaan bahasa tertentu dalam mesej langsung yang dipaparkan dalam talian.
“Walaupun kami dengan teguh memperjuangkan hak kebebasan bersuara oleh artis di bawah naungan kami, namun sesiapa yang bertindak dengan cara sedemikian, tanpa mengira kumpulan, bangsa, atau agama, kami akan turut membuat keputusan yang sama”, jelas wakil dari Warner Music.
Terdahulu, Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 34, mengirim mesej langsung (DM) mengecam pempengaruh dan pelakon Australia yang pro-Israel, Nathaniel Buzolic. Profilnya kemudian dikongsi sebuah laman sosial di bawah nama Jew Hate Database yang turut menyenaraikan nama Kaka sebagai antisemitik.