Susulan sambutan luar biasa pada Jun lalu, Konsert Destiny of Music kembali sekali lagi untuk edisi kedua dan bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 15 November ini.
Konsert Destiny of Music 2.0
Syarikat B De Paris Project selaku penganjur utama dan Sinemalis Studio serta Westzone Entertainment selaku penganjur bersama dengan berbesar hati membawakan edisi kedua yang diberi nama Konsert Destiny of Music 2.0.
Kembali lebih bertenaga, edisi kedua bakal menampilkan empat band popular iaitu Akim & The Majistret, Kugiran Masdo, Empty Page dan Insomniacks yang akan menghiburkan penonton dengan untaian lagu hits mereka selama dua jam tanpa henti.
Mengulas mengenai Konsert Destiny of Music 2.0, Ketua Pegawai Eksekutif, B De Paris Project, Burhan Ahmad berkata, kejayaan edisi lalu membuatkan pihaknya teruja untuk melakar satu lagi sejarah baharu.
Kejayaan dan penerimaan positif yang diterima sewaktu penganjuran edisi yang pertama baru-baru ini telah mendorong kami untuk terus menganjurkan lebih banyak konsert-konsert sebegini.
Selain dapat mengukuhkan lagi kedudukan B De Paris Project dalam industri hiburan tempatan, penganjuran ini juga mampu memartabatkan serta memberi inspirasi kepada penggiat seni tempatan.
Menerusi platform yang ada, sekaligus membuka lebih banyak peluang kerjasama pada masa hadapan.
Kami juga amat berbesar hati di atas kesudian barisan artis seperti Akim & The Majistret, Kugiran Masdo, Imsoniacks dan Empty Page yang sudi bekerjasama dengan kami untuk menjayakan konsert ini.
Harga tiket RM55!
Berkongsi lanjut, Burhan Ahmad berkata, pihaknya sudah menyusun rapi pengisian konsert agar segala yang dirancang berjalan lancar sekali gus peminat yang datang berasa puas.
Oleh kerana Konsert Destiny of Music 2.0 merupakan kesinambungan daripada konsert yang diadakan sebelum ini, kami sepasukan telah bekerja keras untuk membuat perancangan rapi bagi memastikan penganjuran kali ini jauh lebih baik.
Kami berharap konsert ini bakal berlangsung dalam suasana gemilang seperti yang dirancang sekaligus membekaskan impak yang mendalam.
Jadi, jangan tunggu lagi kerana kami menawarkan harga tiket yang berpatutan, sesuai untuk semua golongan peminat termasuk pelajar, pihak korporat dan sebagainya.
Dapatkan tiket segera dan datang beramai-ramai bersama sahabat handai dan seisi keluarga kerana para peminat bakal dijanjikan dengan pengalaman menonton maksimum.
Tiket untuk menyaksikan Konsert Destiny of Music 2.0 sudah mula dijual dengan harga yang berpatutan serendah RM55 (Silver), RM85 (Gold), RM135 (Diamond), RM155 (Platinum) dan RM285 (VIP) bermula 10 Oktober lalu di platform rasmi ticket2u