Misteri identiti rangka manusia tidak sempurna yang ditemui di sebuah rumah terbengkalai di Lorong Imam Jailani Kampung Batu 7 Tongkang Pecah, pada Jumaat lalu, akhirnya menemui jawapan
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, laporan analisa ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sudah diterima lewat petang Selasa.
Menurutnya, melalui laporan itu mengesahkan hasil analisis DNA didapati ia sepadan dengan sampel yang diambil dari ibu dan kakak Mira Sharmila Samsusah, 32, atau Bella yang dilaporkan hilang pada 14 Disember tahun lalu.
“Selamat tinggal Bella, aku sayang sangat pada kau Bella. Aku akan tuntut keadilan atas pemergian kau ini”.
“Sepatutnya kita masih bersama-sama kan,” itu luahan Norhisham Samsusah, 36, selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan rangka ditemui dalam rumah sewa di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, ialah Bella atau Mila Sharmila Samsusah.
Memetik laporan Berita Harian, Norhisham atau lebih mesra dengan panggilan Ayu menerima berita mendukacitakan itu sekitar 6.20 petang selepas dihubungi pihak polis memaklumkan keputusan DNA terbabit.
“Esok jenazah akan dituntut di Hospital Sultan Ismail sebelah pagi dan dibawa pulang ke Batu Pahat untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banang Jaya.
Menurut Ayu lagi, dia berterima kasih atas doa dan usaha semua pihak sehingga terjumpanya adik kesayangan walaupun dalam keadaan tidak sempurna.
Dalam pada itu, ruang komen di Facebook Ayu dipenuhi dengan ucapan takziah serta kata-kata semangat.