Siapa sangka di sebalik hidup glamor dan kejayaan sebagai seorang pelakon dalam industri Bollywood serta Hollywood, Priyanka Chopra pernah menghadapi gangguan seksual.
Dikongsi dalam The Zoe Report, isteri kepada Nick Jonas ini mendedahkan dirinya pernah berada dalam situasi yang tidak menyenangkan di sebalik tabir sebuah filem.
Priyanka yang tidak mendedahkan nama pengarah atau tajuk filem tersebut, memberitahu yang dia diminta untuk menunjukkan seluar dalamnya dalam sebuah babak filem itu. Baginya permintaan tersebut agak kurang sopan dan tidak wajar.
“Dalam babak tersebut, saya seorang penyamar yang menggoda lelaki itu. Sudah semestinya itulah yang perlu dilakukan oleh seorang penyamar. Tetapi untuk menggodanya, saya perlu menanggalkan pakaian dan menunjukkan bahagian seluar dalam.”
Permintaan pengarah tersebut bukan sahaja menjatuhkan maruahnya sebagai seorang wanita, malah pengarah tersebut memberitahunya jika tidak lakukan hal tersebut, tiada siapa yang mahu menonton filem itu.
Bagi Priyanka, sudah semestinya dia tidak dapat menerima permintaan tersebut dan mengambil keputusan untuk menarik diri daripada projek filem itu.