Kalau anda berada di Hokkaido, Jepun, salah satu tempat yang wajib anda lawati ialah Tanah Perkuburan Makomanai Takino di Sapporo. Kami di MURAI berpeluang merasai pengalaman yang sungguh luar biasa ini, terima kasih kepada kolaborasi AirAsiaX dan Hokkaido Tourism Organisation.
Di tengah kawasan perkuburan ini, terdapat sebuah karya seni bina yang sangat memukau hasil sentuhan arkitek terkenal Jepun, Tadao Ando. Yang menarik, patung Buddha setinggi 13.5 meter ini hanya memperlihatkan bahagian kepala sahaja dari jauh. Apa rahsianya? Jom kita selami.
Seni di Sebalik “Kepala Buddha”
Bayangkan sebuah busut besar yang dilitupi salji. Dari jauh, anda hanya akan nampak bahagian atas kepala patung Buddha yang menjulang melalui perigi bulat di tengah busut tersebut.
Konsep ini sengaja direka untuk mencetuskan rasa ingin tahu pengunjung. “Imaginasi kita terpengaruh oleh apa yang tidak dapat kita lihat,” kata Ando. Dengan hanya kepala Buddha yang kelihatan, ia mengundang anda untuk mendekati dan menghayati keindahan keseluruhannya.
Untuk menuju ke patung ini, pengunjung perlu melalui satu perjalanan yang sepi. Mula-mula, anda akan berjalan di taman air yang tenang, dan memasuki terowong sepanjang 40 meter yang bercahaya malap.
Terowong ini direka untuk membina suasana sunyi dan penuh keheningan. Saat anda melangkah keluar dari terowong, anda akan tiba di sebuah kubah terbuka yang memperlihatkan patung Buddha sepenuhnya, di mana langit di atas menjadi lingkaran cahayanya. Pengalaman ini memberikan rasa kagum dengan seni bina-nya.
Sejarah Patung Buddha
Sebelum projek ini siap, patung Buddha setinggi 44 kaki ini sebenarnya sudah berdiri sendirian di kawasan tersebut selama 15 tahun. Namun, kehadirannya dirasakan terlalu besar dan tidak seimbang dengan landskap sekeliling, malah ada yang merasakan ia memberikan aura yang kurang menyenangkan. Pemilik tanah perkuburan akhirnya mengupah Tadao Ando untuk menyelesaikan isu ini. Hasilnya, Ando mencipta struktur busut bercincin lavender yang bukan sahaja menenangkan, malah memberikan patung itu suasana yang lebih harmoni.
Cara ke Sana
Untuk ke sini, anda boleh menaiki bas dari Stesen Makomanai. Naik Bas Sapporo Chuo 108 dan turun di perhentian bas No.2. Perjalanan ini mengambil masa lebih kurang 23 minit dengan tambang 380 yen.
- Alamat: 2 Takino, Minami-ku, Sapporo City, Hokkaido Prefecture
- Waktu buka: 9 pagi – 4 petang (April-Oktober), 10 pagi – 3 petang (November-Mac)
- Bayaran masuk: 300 yen (sebagai derma)
Patung Buddha di Makomanai Takino ini bukan sekadar arca biasa. Ia adalah simbol ketenangan yang dikelilingi seni bina luar biasa. Dengan pendekatan yang perlahan dan suasana yang mendamaikan, ia memberikan pengalaman spiritual yang jarang ditemui. Jadi, kalau anda berada di Hokkaido, jangan lepaskan peluang untuk menikmati keindahan karya seni Tadao Ando ini!
AirAsiaX: Penerbangan Langsung Tanpa Gangguan
Tentu saja, perjalanan ke Hokkaido tak akan lengkap tanpa penerbangan yang selesa. Terima kasih kepada AirAsiaX (AAX) dan Hokkaido Tourism Organization yang telah membawa kami ke destinasi sejuk ini!
AirAsiaX adalah pilihan penerbangan langsung dari Kuala Lumpur ke Sapporo, jadi tak perlu buang masa transit di Tokyo atau mana-mana tempat lain.
Penerbangan D7 550 dari Kuala Lumpur pada jam 23:50 dan tiba di Sapporo pada jam 8:25 pagi keesokan harinya. Penerbangan malam ni memang memudahkan, anda boleh tidur sepanjang perjalanan dan sampai di Sapporo dengan segar untuk memulakan pengembaraan.
Bila dah selesai semua aktiviti seronok ni, penerbangan D7 551 dari Sapporo pada 9:40 pagi dan sampai ke Kuala Lumpur pada 17:20, memberi anda cukup masa untuk berehat sepanjang perjalanan pulang.
Dengan penerbangan direct ni, memang sangat jimat masa! Jangan risau tentang transit panjang atau perjalanan yang memenatkan. Cuma duduk, relaks, dan nikmati perjalanan anda!