Usahawan dan pempengaruh, Puteri Zarith diberi hak penjagaan penuh bagi dua anaknya di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Pahang, semalam.
Syukur di bawah jagaan saya
Memetik laporan Harian Metro, Puteri Zarith bersyukur kerana dua orang anaknya iaitu Arayyan Darwish dan Puteri Medina masih berada di bawah penjagaannya. Tambah Puteri Zarith, keputusan itu sekali gus menutup mulut segelintir pihak yang mendakwa dirinya tidak pandai menjaga anak dengan baik.
Alhamdulillah, keputusan hak jagaan anak diberikan kepada saya sepenuhnya. Saya bersyukur kerana anak-anak masih berada di bawah jagaan saya.
Keputusan semalam membuktikan saya tidak pernah mengabaikan anak-anak seperti yang difitnah sesetengah pihak.
Saya jarang berkongsi perkembangan mereka di media sosial bukan bermakna mereka sudah tidak tinggal bersama saya, sebaliknya saya ingin menjaga privasi mereka.
Ujar Puteri Zarith lagi, bekas suaminya, Dr Munzir Shkori masih dibenarkan untuk melawat dan bermalam dengan anak-anak pada bila-bila masa.
Saya tak boleh pentingkan diri sendiri. Dia masih bapa kepada anak-anak saya. Saya kena berterima kasih kepadanya kerana memberi kerjasama penuh untuk memberikan hak penjagaan penuh kepada saya.
Menerusi perbincangan semalam, saya tidak akan menghalang untuk dia berjumpa atau mengambil anak-anak pada bila-bila masa.
Ini bagi memastikan anak-anak mendapat kasih sayang sepenuhnya daripada saya dan bekas suami. Doakan semoga segalanya dipermudahkan walaupun kami sudah tidak bersama.