Penyanyi dan pelakon popular, Aliff Aziz, sekali lagi menjadi bahan bualan ramai apabila tular beberapa video dan fotonya yang aktif menyertai aktiviti keagamaan bersama jemaah tabligh di Singapura baru-baru ini.
Perkara tersebut menjadi viral selepas pendakwah bebas, Ustaz Taufik, memuat naik foto dan video bersama Aliff, 33, yang hadir ke majlis agama.
Ustaz Taufik dalam perkongsian bersama pelantun lagu “Sayang Sayang” itu, meminta orang ramai agar tidak mudah menghukum seseorang hanya kerana kesilapan yang dilakukan pada masa lalu.
“Kalau kamu ada akal dan mata, kenapa kamu lihat dan hukum manusia hanya dengan telinga? Doakan yang baik-baik, fikirkan yang baik-baik dan mudah-mudahan pengakhirannya semuanya akan menjadi lebih baik,” katanya.
Ustaz Taufik turut menekankan pentingnya setiap ilmu yang dipelajari dalam majlis keagamaan tersebut dijadikan panduan untuk menjadi individu yang lebih baik.
“Ulama beritahu, ‘hakikatnya di dunia ini tiada orang jahat sebenarnya tetapi mereka yang tersalah memilih suasana’. Mudah-mudahan suasana agama ketika keluar tiga hari ini akan menjadi medan tarbiah untuk kami islah diri dan belajar menjadi orang yang baik di sisi Allah SWT,” tambahnya.
Reaksi positif memenuhi ruangan komen, dengan ramai yang mendoakan agar Aliff terus berada di jalan yang diredai Allah dan diberi kekuatan menghadapi segala dugaan hidup.
“Ya Allah, suka lihat Aliff tersenyum bersama orang-orang yang baik, semoga dipermudahkan urusan,” tulis seorang netizen. “Saya simpati dengan Aliff, harap semuanya baik-baik sahaja,” komen yang lain.
Mengimbau semula perjalanan Aliff, atau nama penuhnya Mohammad Aliff Aziz, beliau pernah aktif bersama jemaah tabligh sekitar tahun 2021.
Ketika itu, Aliff berkata mendapat hidayah untuk menyertai tabligh selepas melayari Instagram dan melihat perkongsian beberapa selebriti lain.