Seorang pemandu lori mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Khamis atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang bayi perempuan berusia setahun di Pasir Tumbuh Limbat, 26 Jun lalu.
Pemandu lori mengaku bersalah
Memetik laporan Harian Metro, tertuduh Mohamad Zulazhar Ibrahim, 32, membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap bayi perempuan berusia 1 tahun 11 bulan.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan juga sebat.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan dan tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 18 Julai ini untuk pihak pendakwaan mengemukakan fakta kes dan prosiding jatuh hukum. Difahamkan, isteri tertuduh merupakan pengasuh yang menjaga bayi tersebut.