Susulan kontroversi terpalit dengan pelakon Amir Ahnaf, anggota kumpulan Dolla iaitu Angel akhirnya tampil bersuara selepas namanya dikaitkan.
‘Hanya rakan’
Menerusi hantaran di Instagram Story, Angel menegaskan mereka tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa dan sekadar kenalan industri.
iDollas (kelab peminat Dolla) yang disayangi, minta maaf sebab lambat mengeluarkan kenyataan, saya harap korang sihat.
Amir dengan saya hanya rakan industri sahaja, kami saling menyokong antara satu sama lain dengan pencapaian kerjaya masing-masing.
Tetapi kami berdua tidak pernah keluar lepak bersama, jadi saya harap kalian jangan risau.
Pada hantaran sama, Angel memohon maaf kepada peminat yang berasa risau dengan keadaannya.
Tambahnya, dia hanya mahu fokus untuk mengembangkan kerjaya seni dan membanggakan negara.
Saya akan terus bekerja keras untuk melakukan yang terbaik dalam kerjaya dan membanggakan nama Malaysia. Saya minta maaf kalau ada apa-apa yang saya buat salah.
Terdahulu, kecoh di media sosial selepas tular foto mesra Amir Ahnaf dengan seorang wanita.
Wanita terbabit mendakwa Amir telah meninggalkannya selepas setahun mereka bersama.
Susulan itu, netizen telah mengaitkan nama Angel apabila didakwa sedang berkawan rapat dengan Amir.
Hal itu telah menimbulkan rasa kurang senang peminat Angel sekali gus berasa risau sekiranya dia diserang dan dipersalahkan dalam isu terbabit.