Tidak pernah membuka mulut mengenai hubungan cinta, penyanyi Amira Othman mendedahkan dia hampir naik ke jinjang pelamin untuk menamatkan zaman bujang namun hasratnya itu putus di tengah jalan.
Hampir berkahwin
Enggan berkongsi secara terperinci, Amira atau nama lengkap Nadia Amira Othman, 32, berkata, dia reda dengan apa yang terjadi biarpun sukar untuk ditelan pada awalnya.
Saya pernah mengalami fasa yang tidak mudah dalam percintaan. Tetapi saya memilih untuk tidak pernah berkongsi kerana menghormati kedua-dua bela pihak.
Walaupun hubungan itu sudah terlerai tetapi kami berdua masih menjaga hubungan baik. Siapa lelaki itu biarlah menjadi rahsia.
Saya yakin, walaupun sudah merancang untuk ke fasa halal tetapi tidak menjadi, saya hanya fikir yang baik-baik sahaja. Saya reda dan tak mahu ingat lagi tentang itu.
Allah Maha Mengetahui yang terbaik, walaupun hari itu saya putus tetapi esoknya kembali kuat, saya kembali bekerja seperti biasa.
Amira mendedahkan hal itu ketika ditemui di majlis pelantikannya sebagai duta tudung jenama Varisha dan pelancaran lagu terbaharu berjudul ‘Bila Nak Kahwin’ yang berlangsung di Central I-City Mall, Shah Alam pada Sabtu.
Fasa healing
Berkongsi lanjut, bekas peserta Akademi Fantasia 2013 itu berkata, dia membiarkan dirinya menjalani proses berdamai dengan takdir sehingga kembali pulih sepenuhnya.
Saya membiarkan proses ‘healing’ itu berlaku dan berlalu dengan sendiri. Cukup lah mak, ayah dan keluarga sahaja yang tahu.
Saya tak mahu gaduh dengan sesiapa, walaupun hubungan tidak menjadi bukan alasan untuk kami bermusuh. Tiada apa nak digaduhkan.
Dalam pada itu, Amira mengakui tidak pernah berkongsi tentang perkara tersebut kepada umum kerana tidak mahu menjadikan isu lebih besar.
Saya suka menjadi perahsia jika dalam perhubungan. Saya tak mahu kongsi kerana akan ada banyak pendapat daripada luar sehingga buat saya rasa pening. Kalau nak cerita fasal kisah cinta saya penuh liku, namun saya anggap itu ujian.
Sekadar info, lagu ‘Bila Nak Kahwin’ merupakan terbitan Sony Music Malaysia dengan kerjasama kreatif bersama Emiera Othman Ventures.
Lagu itu dilancarkan secara rasmi pada 10 Januari manakala video muziknya mula ditayangkan hari ini.
Lagu bergenre pop ini adalah hasil ciptaan Iqie Hugh dan Omar K bersama Amira sendiri.