Di Pulau Pinang, seorang wanita maut dipercayai ditikam dengan gunting oleh anaknya yang mempunyai masalah mental.
Ditikam guna gunting
Menerusi laporan Harian Metro, suspek dikatakan menghubungi abangnya kira-kira 5 petang, bagi memaklumkan mengenai kejadian itu.
Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, abang suspek kemudian menghubungi polis bagi tindakan lanjut. Tambah Razlam, suspek yang juga anak bongsu berusia 40 tahun itu kemudian diberkas di unit kediaman pangsapuri berkenaan.
Siasatan awal mendapati anak sulung dan kedua menghubungi mangsa sebelum kejadian namun panggilan itu tidak dijawab.
Mereka kemudian dikejutkan dengan panggilan mengenai kematian ibu akibat ditikam menggunakan gunting oleh suspek.
Berbicara lebih lanjut, Razlam memberitahu mangsa yang berusia 67 tahun dikatakan hanya akan datang ke rumah peninggalan suaminya itu tiga hari seminggu bermula Jumaat.
Manakala baki hari yang lain, wanita warga emas itu tinggal bersama anak sulungnya di Batu Maung.
Suspek juga pernah membuat ugutan bunuh terhadap semua ahli keluarganya ketika mereka tinggal bersama di Batu Maung. Selain itu suspek juga pernah dimasukkan ke wad rawatan psikiatri di Jalan Perak di sini, pada tahun lalu.
Setakat ini, motif pembunuhan masih dalam siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) proses bedah siasat.