Hari ini, pemuzik dan komposer terkenal antarabangsa AR Rahman mendapat penghormatan untuk bertemu dengan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Pertemuan itu berlangsung di Pejabat Perdana Menteri di bangunan Parlimen, di mana Rahman disambut mesra oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Semasa kunjungan hormat itu, Rahman melahirkan rasa kekaguman beliau terhadap kekayaan dan kepelbagaian budaya yang ada di Malaysia. Beliau menekankan kepentingan pertukaran budaya dalam memupuk persefahaman bersama dan mengukuhkan hubungan dua hala antara negara.
“Sepanjang 40 minit perjumpaan, AR Rahman menceritakan pelbagai pengalamannya di industri muzik termasuk berkongsi mengenai beberapa klip video muzik yang diterbitkanya. Beliau turut berkongsi mengenai nilai-nilai kemanusian dan juga pengaruh AI di industri muzik yang semakin “menyerlah”.”- kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan yang turut serta dalam pertemuan ini.
Rahman turut membincangkan potensi kerjasama dalam bidang muzik dan seni yang boleh mempertingkatkan lagi diplomasi budaya antara India dan Malaysia.
Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan Rahman dan memuji usaha Rahman dalam mempromosikan keharmonian budaya.
Pertemuan bersejarah antara AR Rahman dan Perdana Menteri Malaysia bukan sahaja menonjolkan rasa kagum terhadap budaya Malaysia, tetapi juga membuka ruang untuk lebih banyak kerjasama dalam bidang seni dan budaya antara Malaysia dan India.
Pengakuan Rahman tentang kekayaan budaya Malaysia membuktikan bahawa kepelbagaian budaya adalah aset berharga yang perlu dihargai dan dikekalkan. Dengan semangat ini, Malaysia terus menjadi contoh teladan harmoni budaya yang diakui di peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, pemenang Oscar itu berada di ibu negara untuk bertemu 1,000 peminat menjelang Konsert AR Rahman Live in Kuala Lumpur 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 27 Julai ini.