Dunia hiburan bakal dikejutkan dengan satu lagi konsert Bollywood terbesar ‘Arijit Singh Live In Malaysia’ yang akan diadakan pada 16 November ini di Axiata Arena Bukit Jalil.
Konsert yang bakal berlangsung selama empat jam itu dikatakan sangat mega dan istimewa kerana menelan kos jutaan ringgit.
Pelbagai gimik menarik
Menurut Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Group iaitu En Rohit Rampal, pihaknya masih berbincang mengenai artis jemputan yang akan melakukan persembahan bersama Arijit Singh pada malam konsert itu nanti.
Kami tengah urus artis Malaysia untuk kolaborasi ini. Kami akan tanya penonton, siapa yang mereka mahukan. Kalau dalam pemikiran saya, sudah semestinya Datuk Seri Siti Nurhaliza. Ini kerana, beliau pernah melakukan persembahan dengan AR Rahman.
Selain Siti, mana tahu Aina Abdul pun boleh juga. Kami nak buat satu persembahan yang sangat istimewa di Malaysia. Bahkan Arijit seorang artis yang sempoi.
Disoal mengenai gimik ketika hari konsert, Rohit berkata, sudah semestinya akan ada pelbagai gimik untuk konsert itu nanti.
Konsert Arijit Singh ini paling mega yang saya akan lakukan. Dari segi pihak produksi, pentas dan gimik semua itu pasti akan ada. Kos konsert ini pun menelan dalam jutaan ringgit. Bagi saya memang padan dengan profil artis yang saya bawa kali ini.
Saya difahamkan, jumlah krew dan orang yang akan datang bersama Arijit pun sangat ramai. Lebih kurang 75 ke 80 orang nanti. Atas pentas sahaja boleh jadi 20 orang.
Rohit yang ditemui di sidang media eksklusif ‘Arijit Singh Live In Malaysia’ di Renaissance Hotel Kuala Lumpur, semalam, turut berkata, konsert ini hanya akan diadakan satu malam sahaja.
Kami dah berbincang dan konsert ini akan diadakan hanya satu malam sahaja. Kami tak akan tambah hari kedua mahupun ketiga. Ini kerana, Arijit akan terus ke tempat lain bagi memenuhi beberapa undangan keesokan harinya.
Ditanya mengenai harga tiket konsert pula, Rohit mengakui bahawa dia sudah menetapkan harga yang terbaik bagi semua kategori.
Tarikh pra-jualan tiket konsert ini akan bermula pada 2 September nanti. Jualan tiket umum pula akan dibuka pada keesoakan harinya. Mereka yang nak beli tiket boleh kunjungi lama web www.hitmanlive.com dan tiket-tiket tersedia dalam kategori Silver (RM298), Gold (RM398), Platinum (RM598), Diamond (RM698), VIP (RM788), VVIP (RM988) dan MIP (RM1,188).
Di akhir temu bual, Rohit sempat berkongsi bagaimana dia melamar Arijit untuk datang ke Malaysia semula.
Sebelum ini saya pernah buat dua kali konsert untuk dia. Masa itu dia tak dikenali sangat. Lagu pun tak banyak. Sekarang, peminat-peminat filem hit Bollywood seperti ‘Dilwale’, ‘Brashmastra’ dan ‘Jawan’ pasti kenal dengan suara penyanyi lelaki ini.
Saya muat naik teaser sedikit sahaja, semua orang bagi respons yang positif. Jadi saya terus pergi jumpa dia dan berbincang mengenai perkara ini.
Paling membuatkan saya gembira ialah, dia sudi dan mahu bekerjasama dengan Hitman Solutions. Lebih kurang lima hingga enam penganjur yang mengajaknya untuk buat konsert, rupanya dia memilh dan mempercayai kami. Syukur dapat peluang ini.
Sekadar info, Arijit sudah diiktiraf sebagai artis yang mempunyai paling ramai pengikut secara global di Spotify mengalahkan artis antarabangsa seperti Taylor Swift, Ed Sheeran dan Drake.