Lebih dikenali sebagai hos yang popular di negara ini, pelakon, penyanyi, dan penyiar radio, Khairil Azam Pilus atau lebih dikenali sebagai Aril Pilus, kini kembali dengan single pop terbarunya yang bertajuk ‘TAK SEMPURNA’.
Bawa Kembali Era Shuffle
Single ini merupakan hasil ciptaan bersama komposer berbakat Justin Seow dan penulis lirik, Asyraf Nasir, manakala diterbitkan oleh label hiburan paling berpengaruh di rantau ini, Rocketfuel Entertainment.
Apabila ditanya daripada mana idea untuk single TAK SEMPURNA ini datang, Aril menjelaskan bahawa ia tercetus selepas mendapat perhatian di media sosial apabila tarian ‘shuffle’ kembali menjadi viral.
Aril sebelum ini aktif dalam tarian ‘shuffle’ dan mempunyai pengikut ramai di dalam dan luar negara, maka beliau mengambil peluang ini untuk menghasilkan sebuah karya berentak pop EDM serta merancang untuk menghasilkan sebuah festival EDM, selain daripada mempromosikan karyanya.
Membawa Maksud “Kebangkitan Semula”
Lagu ini mempunyai maksud ‘kebangkitan semula’, untuk sentiasa bergerak ke hadapan. Apabila kita jatuh, kita perlu bangkit semula dan tidak mengalah kerana kita semua tidak sempurna.
Walaupun lagu ini berirama pantas, liriknya lebih ke arah memberi motivasi dan membangkitkan semangat.
Aril bermula merancang untuk menghasilkan single ini seawal Julai tahun lalu, namun selepas berjumpa dengan komposer yang benar-benar memahami kehendaknya, proses untuk mewujudkannya bermula.
Merupakan “Comeback”
Aril juga menganggap lagu ini sebagai sebuah comeback baginya dalam industri muzik, dan ini bukan hanya untuk beliau, tetapi juga bagi komuniti peminat tarian ‘shuffle’ dan juga peminat muzik EDM.
Lagu ‘TAK SEMPURNA’ boleh dimuat turun di iTunes dan boleh digunakan sebagai nada dering panggilan melalui rangkaian telekomunikasi tempatan, serta boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.