Pelakon terkenal, Datin Atikah Suhaime, 33, baru-baru ini mencetuskan spekulasi di kalangan peminatnya apabila dia seolah-olah berkongsi khabar gembira tentang kehamilannya.
Melalui satu hantaran di aplikasi TikTok, Atikah mendedahkan bahawa dia mengalami alahan teruk yang memaksanya berehat seketika daripada berkongsi video mukbang kegemarannya.
Atikah, atau nama sebenarnya Datin Nur Atikah Mohd. Suhaime, berkata bahawa sejak kebelakangan ini, dia tidak lagi boleh menjamah makanan yang mengandungi bawang kerana boleh mengakibatkan rasa mual yang amat teruk.
“Sejak akhir-akhir ini, rasa mual-mual semakin teruk. Maaf kalau kalian tertunggu-tunggu video mukbang,” katanya.
Pelakon yang berasal dari Singapura itu turut menjelaskan bahawa dia tidak tahan dengan bau bawang putih, yang membuatkan dia serta-merta muntah.
“Tak boleh bau bawang putih. Bau sahaja saya muntah,” ujarnya sambil berkongsi pengalaman tersebut dengan pengikutnya di TikTok.
Dalam video yang dimuat naik, Atikah berkongsi momen sedang memasak hidangan Itali, Portabello Mushroom Focaccia Sandwich, yang katanya adalah satu-satunya makanan yang boleh diterima tekaknya dalam tempoh ini.
“Buat masa sekarang sandwic yang kering dan tanpa garam ini adalah makanan tersedap di dunia untuk saya,” jelas Atikah sambil mempamerkan hasil masakannya.
Perkongsian tersebut membuatkan ramai pengikut Atikah mula meneka bahawa dia kini mungkin sedang hamil dan berada dalam fasa awal kehamilan, memandangkan tanda-tanda alahan yang dialaminya. Beberapa pengikutnya mula memberi pandangan dan berkongsi pengalaman mereka yang serupa.
“Biasalah, trimester pertama rasa mual-mual tapi ada juga bakal ibu masih alahan hingga akhir trimester,” kata seorang peminat. “Kalau tak makan atau tak boleh bau bawang biasanya tengah mengandung,” tulis pemilik akaun lain.
Walaupun spekulasi mengenai kehamilannya semakin hangat diperkatakan, Atikah belum lagi mengesahkan berita tersebut. Dia membiarkan para pengikutnya terus berteka-teki, tanpa memberikan sebarang kenyataan rasmi mengenai perkara itu.
Untuk rekod, Atikah Suhaime mendirikan rumah tangga dengan seorang ahli perniagaan, Datuk Lokman Teh, pada 21 Januari lalu.
Perkahwinan mereka menjadi sorotan di media, dan kini para peminat tidak sabar menunggu pengesahan mengenai kehamilannya, yang pasti akan menjadi berita gembira buat pasangan tersebut.