Zaman sekarang, teknologi jadi sebahagian daripada kehidupan harian kita, termasuk anak-anak kecil. Tapi, di sebalik kemudahan teknologi, ada bahaya tersembunyi yang ramai tak sedar dan semakin berleluasa.
Sebagai ibu bapa, ini masanya untuk ambil langkah pencegahan dan pastikan anak-anak selamat dalam dunia siber.
1. Awasi “Friend Request” anak korang
“Friend Request” ni memang kena hati-hati tau! Kadang-kadang, ‘kawan’ yang nampak mesra tu sebenarnya bukan orang baik.
Jadi, ibu bapa perlu sentiasa memantau siapa yang menghantar permintaan kawan kepada anak-anak di platform media sosial mereka. Lebih baik bincang dengan mereka mengenai pentingnya hanya menerima kawan yang dikenali secara peribadi.
2. Hadkan masa layar anak-anak
Screen time ni memang kena ada untuk anak-anak. Kalau dibiarkan, memang boleh bersambung 24 jam depan skrin. Jadi, korang perlu cuba buat jadual ‘screen time’ yang fleksibel tapi berdisiplin.
Tetapkan waktu tertentu untuk mereka menggunakan peranti. Elakkan mereka menghabiskan masa terlalu lama dengan teknologi, kerana ia bukan sahaja boleh menjejaskan kesihatan mental dan fizikal, tetapi juga meningkatkan risiko mereka terdedah kepada kandungan yang tidak sesuai.
3. Gunakan aplikasi penapisan kandungan
Ada pelbagai aplikasi yang boleh membantu ibu bapa menapis kandungan yang tidak sesuai untuk anak-anak.
Bukan apa, bila dah ada aplikasi seperti ini, korang pun bolehlah mengawal laman web yang mereka layari dan video yang mereka tonton. Ini juga bagi memastikan mereka hanya melihat kandungan yang selamat.
4. Ajar mereka kata ‘Tidak’
Kadang-kadang anak-anak susah nak cakap ‘tidak’ sebab tak tahu bahaya. Kalau boleh, korang ajarlah mereka dan beri pemahaman untuk berkata ‘tidak’ kepada mesej, gambar, atau permintaan yang tidak selesa.
Selain itu, ajar juga mereka untuk tidak memberikan maklumat peribadi kepada orang yang tidak dikenali.
5. Ambil tindakan jika ada yang meragukan
Jika anak-anak melaporkan sesuatu yang mencurigakan atau kandungan yang tak sesuai, jangan biar lama-lama.
Ambil tindakan segera dengan hubungi pihak berkuasa atau laporkan kepada platform yang bertanggungjawab. Jangan biarkan perkara ini berlarutan, kerana ia mungkin mendatangkan bahaya.
MCMC adalah platform untuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan
Untuk pengetahuan korang, kes jenayah serius seperti Penyalahgunaan Seksual Kanak-Kanak (CSAM) di Malaysia semakin meningkat. Banyak bahan berunsur penyalahgunaan seksual kanak-kanak telah direkodkan, terutamanya dengan peningkatan ketara di platform media sosial.
Bahan seperti ini sering dikongsi tanpa kawalan oleh individu tidak bertanggungjawab, menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa eksploitasi digital. Lebih membimbangkan, ada kes melibatkan pelaku yang berasal dari komuniti tempatan kita sendiri.
Oleh itu, kalau anak-anak korang ada apa-apa yang mencurigakan, boleh laporkan terus kepada Malaysian Communications and Multimedia Commission (MCMC).
Sebagai agensi yang bertanggungjawab menjaga keselamatan platform online, MCMC melalui Akta 588 sedang berusaha keras memastikan setiap platform ini mematuhi undang-undang ketat.
Ibu bapa juga pula perlu memainkan peranan penting untuk memastikan keselamatan anak-anak di dunia maya. Bersama-sama, kita boleh memutuskan rantaian eksploitasi dan pastikan anak-anak kita bebas menggunakan teknologi tanpa rasa takut.