Bersempena Hari Keputeraan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah perkenan memberi pengampunan kepada seorang banduan yang berjaya memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pentadbiran Perniagaan semasa dia di dalam penjara.
Pengampunan Sultan
Memetik Bernama, Jabatan Penjara Malaysia memaklumkan banduan tersebut yang dikenali sebagai Murad (bukan nama sebenar) telah menjalani hukuman sejak 2001 ketika usia 14 tahun sebagai Tahanan Limpah Sultan (TLS) di Rawatan Pemulihan Dadah Penjara Kajang.
Murad merupakan prospek pertama Jabatan Penjara yang bergelar Doktor Falsafah dalam bidang Pentadbiran Perniagaan, setelah menyambung pelajaran ketika menjalani hukuman di penjara.
Waran pembebasan dibacakan Pengarah Penjara Kajang, Preshahdin Monshee pada Rabu.
Semasa sesi pembebasan itu, Preshahdin turut menasihatkan Murad untuk sentiasa mengamalkan disiplin, serta menggunakan ilmu yang ada dalam memajukan diri.
Murad pada sesi berkenaan turut menzahirkan kesyukuran dan menjunjung kasih kepada Sultan Selangor di atas pengampunan baginda serta Jabatan Penjara kerana memberikan peluang dan ruang kepadanya untuk menyambung pengajian sehinggalah bergelar Doktor Falsafah.
Murad berkata dia akan mengenang segala jasa baik pihak jabatan dan percaya dengan peranan jabatan dalam memulihkan prospek sepertinya, agar dikembalikan dengan lebih sempurna.