Ummi Umairah Saiful Anuar, anak saudara penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza, telah melakar sejarah apabila layak ke peringkat akhir World Championships of Performing Arts (WCOPA) Ke-27 yang berlangsung di Long Beach Performing Arts Center, Sabtu ini.
Berita gembira ini dikongsi sendiri oleh remaja berbakat besar ini, yang lebih dikenali sebagai Umairah, menerusi akaun Instagram miliknya.
Ibunya, Siti Sairah Taruddin, turut memohon doa daripada seluruh rakyat Malaysia agar anaknya berjaya membawa pulang pingat sekaligus mengharumkan nama negara di pentas dunia.
“Pada saringan pertama, Umairah bersaing dalam lima kategori iaitu Kontemporari, Terbuka, R&B, World dan Variety dan berjaya melangkah ke separuh akhir menerusi kategori R&B. Umairah akan membawakan lagu sama iaitu ‘A Natural Woman’ untuk peringkat akhir pada Jumaat ini,” kata Siti Sairah.
Umairah yang berusia 13 tahun akan berentap dalam kategori umur 13 hingga 15 tahun dan akan bersaing dengan tiga peserta lain.
Siti Sairah, sebagai ibu, tidak dapat menyembunyikan harapan agar anak sulungnya itu dapat mengharumkan nama negara.
“Sudah tentu saya mahu melihat Umairah berjaya harumkan nama negara dan bawa pulang pingat, sekaligus membuktikan memiliki bakat tersendiri.
“Alhamdulillah, Umairah boleh harungi tekanan sejak tiba di LA pada 28 Jun lalu. Walaupun nampak gemuruh, tetapi Umairah ada misi untuk berjaya. Perasaan gemuruh perkara biasa untuk seorang penyanyi, apatah lagi dalam pertandingan. Jadi, saya mohon doakan Umairah berjaya,” tambahnya lagi.
Sebanyak 15 peserta mewakili negara dalam kategori vokal, tarian, muzik, dan peragaan pada kejohanan edisi ke-27 ini yang menyaksikan penyertaan daripada 70 negara di Hollywood.
Semoga semua peserta Malaysia terus cemerlang dan membawa pulang kejayaan yang membanggakan.