Bekas madu pelakon terkenal, Miera Leyana atau sebenarnya dikenali sebagai Adibah Abdul Mutalib, berusia 51 tahun, menyatakan rasa syukurnya kerana keputusan mahkamah telah berpihak kepadanya dalam kes nusyuz yang difailkan oleh bekas suaminya, Rosland Othman, yang juga berusia 51 tahun, pada Disember 2021.
Adibah berkongsi perasaannya yang lega apabila namanya dibersihkan daripada tuduhan nusyuz selepas tamatnya prosiding mahkamah.
Dalam kenyataannya, beliau menyatakan, “Alhamdulillah selepas dua tahun kes ini berjalan, saya sangat bersyukur keputusan berpihak pada kami.”
Kemenangan dalam kes ini bukan sekadar satu kelegaan bagi Adibah, tetapi juga merupakan satu pemulihan dan pembebasan dari tekanan yang dialaminya sepanjang tempoh proses mahkamah.
Beliau turut menyatakan bahawa keputusan ini telah membersihkan namanya daripada tuduhan nusyuz, memberikan peluang untuk meneruskan kehidupan tanpa bebanan dan stigma.
“Dengan tiada lagi label nusyuz, saya kini boleh meneruskan hidup dengan tenang dan tanpa kebimbangan,” tambahnya.
Adibah turut mengakui usaha yang telah dilakukan oleh pihaknya sepanjang proses mahkamah, dan bersyukur kepada tuan hakim kerana memahami serta mempertimbangkan semua bukti dan keterangan yang diberikan.
Terdahulu, Rosland memfailkan kes nusyuz terhadap Adibah ketika masih suami isteri atas faktor alasan ingkar perintah suami apabila tidak meminta izin keluar rumah pada 24 September 2021.
Menurut sumber, nusyuz difailkan Rosland selaku plantif dan Adibah sebagai defendan itu dibicarakan di hadapan Hakim Abdul Fattah Kamarudin di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Adibah diwakili peguam, Junid Ramali, manakala Rosland diwakili Nurul Balqis Nordin.
Turut hadir, saksi Adibah yang juga anak sulungnya, Nur Izzah Rosland, 27, serta saksi kepada Rosland yang juga ibu mentuanya, Aisah Abdullah, 62.
Peguam mewakili Adibah, Junid Ramali berkata, pihaknya bersyukur mahkamah memutuskan anak guamnya tidak bersalah.
“Alhamdulillah, keputusan memihak kepada Adibah, di mana dia dibebaskan tuduhan nusyuz apabila tuntutan plaintif ditolak oleh mahkamah.
“Jadi mahkamah menerima hujahan, di mana kami menyatakan bahawa plaintif tak bersungguh memperbaiki hubungan rumah tangga dan buat tuntutan nusyuz hanya untuk menganiaya pihak defendan ataupun nak menunjukkan hanya defendan bersalah dalam isu keruntuhan rumah tangga.
“Kami berjaya meyakinkan mahkamah bahawa defendan berusaha sedaya upaya memperbaiki rumah tangga, namun plaintif menceraikannya. Kami bersyukur mahkamah terima dan memutuskan defendan bukanlah isteri yang nusyuz.
“Apa yang diperjuangkan oleh Adibah selama ini tidak melakukan perkara derhaka dan nusyuz sepanjang perkahwinan seperti yang didakwa plaintif,” katanya.
Junid berkata, keputusan baik itu juga membolehkan Adibah meneruskan kehidupannya dengan positif.
Terdahulu, Adibah diceraikan talak satu oleh Rosland yang juga ahli perniagaan di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Siti Noraini Mohd Ali di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 3 Ogos tahun lalu.
Mereka yang sudah hidup bersama selama 28 tahun, mendirikan rumah tangga pada 3 Jun 1995 dan dikurniakan lima cahaya mata perempuan yang berusia antara 11 hingga 26 tahun.
Rosland berkahwin kali kedua dengan Miera pada Julai 2020 lalu.