Belanjawan 2025 bukan sekadar angka atas kertas, tapi satu pakej komprehensif yang fokus untuk membantu meningkatkan kesejahteraan rakyat sambil merancakkan ekonomi negara.
Untuk pengetahuan korang, Belanjawan 2025 kali ini tampil dengan pelbagai inisiatif yang dijamin beri impak besar kepada kehidupan harian korang.
Daripada kenaikan gaji minimum kepada bantuan kewangan tambahan, belanjawan ini dirangka untuk membantu rakyat mengurangkan cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat, sambil merangsang pertumbuhan ekonomi negara.
Fokus utama kali ini adalah memastikan kebajikan rakyat sentiasa terjaga, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, malahan golongan rentan serta minoriti, serta memacu negara ke arah masa depan yang lebih mampan dan berdaya saing. Jom kita teliti sorotan penting Belanjawan 2025.
Gaji minimum naik bantu korang bernafas lega
Mulai 1 Februari 2025, gaji minimum akan dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM1,700. Langkah ini bukan sekadar beri pendapatan lebih untuk korang, tapi juga membantu ekonomi tempatan dengan peningkatan kuasa beli rakyat.
Dengan peningkatan gaji minimum ini juga menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam menaikkan lantai kehidupan pekerja bawahan agar tidak terlalu terkesan inflasi.
Dasar Gaji Progresif juga akan dikuatkuasakan sepenuhnya tahun depan dengan peruntukan RM200 juta di mana akan memberi manfaat kepada 50,000 pekerja.
Bukan itu sahaja, RM250 juta disediakan tahun hadapan untuk meningkatkan penyertaan rakyat miskin tegar dalam program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bagi menambah pendapatan mereka.
Beban hidup dikurangkan dengan subsidi bersasar
Kerajaan terus prihatin dengan beban rakyat. 85% penduduk negara akan terus menikmati subsidi bersasar untuk bahan api, elektrik dan penjagaan kesihatan.
Langkah ini memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan, sambil mengelakkan ketirisan subsidi kepada golongan berpendapatan tinggi.
Penjimatan besar daripada subsidi pukal juga boleh diagihkan semula kepada rakyat, seperti yang boleh dilihat melalui peningkatan mendadak peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah kepada RM13 bilion tahun depan berbanding RM10 bilion.
Level up penjagaan kesihatan
Kerajaan memperuntukkan dana besar untuk meningkatkan akses kepada penjagaan kesihatan, terutama di kawasan luar bandar seperti Sabah dan Sarawak.
Untuk pengetahuan korang, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima peruntukan kedua tertinggi iaitu RM45.3 bilion berbanding RM41.2 bilion tahun ini dengan mengutamakan kemudahan kesihatan berkualiti, selesa dan mesra rakyat.
Hospital dan klinik baru akan dibina, manakala perkhidmatan kesihatan bergerak akan memudahkan rakyat luar bandar mendapat rawatan.
Selain itu, pembaharuan dalam penjagaan kesihatan awam akan memastikan kos rawatan kekal rendah untuk golongan berpendapatan rendah.
Malah, pelbagai inisiatif turut akan dilaksanakan, antaranya menaik taraf klinik-klinik daif seluruh negara, cadangan menaikkan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa bagi menyokong gerakan War on Sugar, menyokong Agenda Nasional Malaysia Sihat serta memperluas skop pelepasan cukai pendapatan individu ke atas perbelanjaan perubatan.
Bantuan yang lebih padu
Bantuan kos sara hidup rakyat makin padu. Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dinaikkan kepada RM13 bilion, berbanding RM10 bilion sebelum ini.
Seramai 9 juta penerima bakal menikmati manfaat ini, termasuk kategori bujang yang akan terima STR sebanyak RM600.
Isi rumah pula boleh dapat sehingga RM4,600 setahun, manakala penerima SARA akan dapat bantuan bulanan RM100 yang boleh digunakan untuk barangan keperluan di lebih 600 lokasi seluruh negara.
Tak cukup dengan itu, peruntukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut dinaikkan kepada RM2.9 bilion untuk meningkatkan bantuan bulanan warga emas, kanak-kanak miskin dan keluarga yang memerlukan.
Sebanyak RM1 bilion diperuntukkan untuk menangani kos sara hidup, termasuk RM300 juta untuk Program Payung RAHMAH yang tawarkan barangan asas pada harga mampu milik di semua DUN.
Selain itu, RM250 juta disediakan untuk pastikan barangan keperluan sampai ke kawasan pedalaman seperti Magandai dan Nanga Pelawan. Ini semua dilakukan supaya rakyat tak terbeban dengan kenaikan harga barang dan dapat hidup lebih selesa.
Pelepasan cukai pendapatan individu turut dinaikkan iaitu RM4,000 untuk premium insurans pendidikan dan perubatan, serta RM10,000 untuk perbelanjaan perubatan termasuk insurans dan takaful. Malah, pengecualian cukai pendapatan dari sumber luar negara juga dilanjutkan sehingga 2036.
Rumah mampu milik dan kawasan baru
Kerajaan memperkenalkan skim bantuan kewangan baru untuk bantu keluarga berpendapatan rendah membeli rumah.
Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) je dah beri komitmen untuk menjamin pinjaman perumahan bagi 57,000 pembeli rumah pertama dengan peruntukan sebanyak RM12.8 bilion. Lagi best, projek perumahan kos rendah pun akan diperbanyakkan.
Malah, golongan M40 yang ingin memiliki rumah akan mendapat pelepasan cukai dan masih mendapat manfaat daripada penyasaran subsidi petrol, pendidikan dan kesihatan.
Selain itu, kawasan luar bandar akan menerima peruntukan besar untuk menaik taraf infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik, khususnya di Sabah dan Sarawak.
Pelaburan untuk masa depan anak muda
Belanjawan ini juga melabur besar dalam pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) bagi memastikan anak muda dilengkapi kemahiran untuk kerjaya masa depan.
Selain itu, sekolah-sekolah awam akan ditambah baik untuk memberi peluang yang lebih besar kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.
Malah, kerajaan turut memperuntukkan RM25 juta kepada Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) diterajui Ketua Setiausaha Negara yang bertanggungjawab menyelaras isu-isu berkepentingan rakyat seperti sekolah dan klinik daif, kesesakan di hospital dan kaunter imigresen serta kelancaran urusan perniagaan.
Ini termasuk mengkaji peraturan yang boleh memendekkan proses kelulusan untuk kemudahan rakyat, peniaga dan pelabur.
Kerangka insentif pelaburan bernilai tinggi juga akan diperkenalkan untuk merangsang pekerjaan bergaji tinggi.
Kerajaan juga menekankan bahawa pelaburan langsung mesti memberikan nilai dan limpahan ekonomi secara langsung kepada negara dan ekonomi, supaya rakyat dapat menikmati manfaat secara terus daripada pelabur dan perniagaan.
Insentif hanya wajar diberi jika pelaburan tersebut mencipta pekerjaan berpendapatan tinggi dan berkongsi kepakaran, bukan sekadar menguntungkan syarikat pelabur.
Kerajaan komited untuk menjamin masa depan rakyat
Dengan semua inisiatif yang ditawarkan, Belanjawan 2025 bukan sekadar pelan ekonomi biasa di mana ia adalah komitmen Kerajaan untuk memastikan rakyat terus maju, hidup lebih selesa dan terjamin di masa depan.
Dari kenaikan gaji hingga bantuan kewangan, belanjawan ini memberi perhatian kepada keperluan setiap lapisan masyarakat.
Encik Ong, seorang ahli farmasi memuji pihak Kerajaan yang memberikan dana besar untuk sektor kesihatan kerana ia sangat bermanfaat demi keselesaan rakyat.
“Inisiatif Kerajaan untuk menaik taraf fasiliti klinik kesihatan amatlah saya sokong.” ujar Encik Ong.
Tambahnya, dia berharap agar pihak Kerajaan juga akan menambah kakitangan kesihatan kerana tidak mencukupi ketika ini.
Manakala, Zuhairi Kamil, seorang pekerja swasta berpendapat bahawa usaha kerajaan untuk menaikkan ekonomi rakyat dapat dilihat dengan kenaikan gaji minimum dan bantuan tambahan.
“Saya juga amat teruja dengan Belanjawan 2025 memandangkan ia memberi lebih fokus kepada sektor kesihatan dan pendidikan.
“Pada pendapat saya, kedua-dua kedua-dua sektor ini merupakan sektor yang penting dalam negara dalam memastikan negara dapat melahirkan modal ihsan yang berkualiti sekaligus memastikan kesihatan rakyat Malaysia terbela.” ujarnya.
Selain itu, dia turut berharap agar pihak Kerajaan dapat menjalankan tugas sebaiknya dalam menyasarkan pemberian wang STR kepada golongan yang layak.