Usahawan sensasi dan kontroversi, Hafiz Mahamad tampil memberikan sumbangan bernilai RM30,000 buat keluarga yang terjejas selepas rumah kediaman mereka hangus dijilat api dua hari sebelum Ramadan.
Sumbang RM30k
@hafizmahamadRamai yg sayang Abah, terima kasih beri saya peluang untuk membantu pada Ramadhan ni ?? original sound – Hafiz Mahamad
Menerusi hantaran dimuat naik di TikTok, Hafiz dilihat turun ke kawasan berkenaan yang terletak di Jalan Lahar Yoor, Pulau Pinang bagi melihat sendiri keadaan yang menimpa keluarga mangsa.
Hafiz juga sempat menasihati serta memberikan kata-kata semangat buat pemilik rumah tersebut agar terus kuat menghadapi ujian dan dugaan yang diberikan Allah SWT.
Usahawan berusia 31 tahun itu kemudiannya dilihat mengeluarkan cek bernilai RM30,000 sebelum diberikan kepada keluarga tersebut dengan harapan mampu untuk meringankan sedikit beban yang mereka alami.
Kuat semangat ya, insya-Allah semua ini akan selesai. Jangan fikir banyak-banyak.
Gunalah sebaiknya, saya keluarkan RM30,000 ini untuk anda sekeluarga. Tak banyak saya dapat bagi tapi harap cukup meringankan untuk kos pembinaan rumah nanti.
Ikhlas daripada saya dan doakan saya agar tidak sombong dan sentiasa ingat pemberi rezeki saya dan sentiasa berkongsi dengan mereka yang memerlukan.
Dalam pada itu, Hafiz yang turut datang bersama seorang kontraktor kenalan daripada keluarga tersebut memaklumkan bahawa rumah tersebut dijangka siap sepenuhnya pada Hari Raya Aidiladha nanti.
Hantaran tersebut turut mendapat perhatian wargamaya yang rata-ratanya sebak melihat perkongsian Hafiz itu.
Menjengah ke ruangan komen, netizen mendoakan agar Hafiz dimurahkan rezeki dan semoga urusan keluarga berkenaan dipermudah.
Terdahulu, tular satu video yang begitu meruntun jiwa wargamaya yang memaparkan tiga orang individu yang dipercayai penghuni rumah tersebut menangis teresak-esak selepas melihat kediaman mereka hangus dijilat api.