Penyanyi meningkat naik yang berasal dari Indonesia iaitu Bernadya akui bahawa karya-karya yang dihasilkan adalah daripada pengalaman hidupnya sendiri.
Lagu Bernadya inspirasi kisah sendiri
Ketika ditemui , Bernadya atau nama lengkapnya Bernadya Ribka Jayakusuma berkata bahawa lagu-lagu yang ditulisnya itu merupakan perjalanan dan kisah hidup yang pernah dilaluinya pada suatu ketika dahulu.
Kebanyakan karya lagu yang saya hasilkan adalah daripada pengalaman sendiri. Saya juga baru tahu rupanya ramai lagi yang merasakan apa yang saya pernah lalui dahulu.
Apabila ditanya mengenai penerimaan orang ramai terhadap lagu-lagu ciptaannya, gadis berusia 20 tahun ini akui tidak menyangka karyanya itu mendapat sambutan yang sangat hebat daripada peminat di Indonesia dan Malaysia.
Saya cuma berharap agar lagu-lagu yang saya hasilkan sampai ke hati para pendengar. Jumlah tontonan semua itu bagi saya adalah bonus, saya tak pernah menyangka karya saya akan hit dan dapat sambutan meriah seperti ini.
Rupanya ramai orang Malaysia yang mendengar karya-karya saya.
Bernadya berkata demikian ketika ditemui di majlis Sidang Media dan Showcase Tur Berjalan yang berlangsung di The Bee, Publika pada Rabu.
Selain itu, bait-bait lirik yang terkandung dalam karya ciptaan Bernadya juga secara tidak langsung memberi inspirasi dan semangat buat mereka yang berada dalam fasa ‘bersedih’.
Ada seorang content creator (pencipta kandungan) sewaktu kami bergambar, dia beritahu saya bahawa lagu-lagu saya telah menyelamatkan nyawanya. Dia berhenti self harmed. Dia mendengarkan lagu Untungnya, Hidup Harus Berjalan. Itu sangat mengharukan.
Bernadya akui teruja akhirnya dia berpeluang untuk bertemu para peminatnya di Malaysia.
Sekadar info, Bernadya berada Malaysia untuk melengkapkan sesi jelajahnya (Tur Berjalan) di lima kota termasuk Kuala Lumpur sebagai destinasi terakhir.