Siapa tidak teruja jika dapat menghasilkan karya bersama penyanyi nombor 1 negara yang juga digelar ‘Malaysian Sweatheart’ , Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Ia bagaikan sebuah kejayaan bagi para penyanyi, apatah lagi melihat pelbagai kejayaan yang berjaya diraih oleh penyanyi kesukaan ramai ini.
Tidak kira penyanyi tempatan mahupun luar negara, pastinya nama penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza menjadi sebutan untuk menjalinkan kerjasama.
Begitu juga penyanyi kelahiran Bali, Indonesia yang popular dengan lagu Sial, Mahalini Raharja yang cukup berbesar hati sekiranya hasrat bekerjasama dengan Siti menjadi kenyataan.
“Siti tentunya pilihan saya. Kerana beliau adalah penyanyi fenomena di Indonesia dan sangat dikenali ramai.
“Pada awal kemunculan, saya pernah bawakan lagu Siti ketika tampil di kaca televisyen dan memang namanya begitu dikenali di mana-mana,” katanya.
Mengulas sama ada mahu menulis lagu buat penyanyi yang popular dengan lagu Anta Permana itu, Mahalini berkata, dia sudah tentu mahu penyanyi itu menyanyikan lagu nukilannya.
Mahalini berkongsi hasrat ketika ditemui pada sidang media Lovechestra Mahalini Live In Kuala Lumpur di The Roomah, Publika, baru-baru ini.
Sementara itu, Mahalini bakal kembali ke Kuala Lumpur bagi mengadakan Konsert Lovechestra Mahalini Live In Kuala Lumpur di Megastar Arena, Sungei Wang Plaza.