Nama penyanyi Bienda, cukup dikenali bukan saja kerana dia anak penyanyi dangdut Sheeda, tetapi pembabitan bersama kumpulan nasyid Solehah.
Bersama kumpulan itu yang diperkenalkan pada 1998, Bienda menjadi perhatian kerana dia baru berusia 12 tahun dan memiliki bakat besar.
Tidak hanya menyanyi, dia dengan berani mengorak langkah dan mencuba nasib sebagai pelakon, pengacara, penyampai radio termasuk turut dipilih menjadi duta produk.
Terkini penyanyi Bienda berkongsi rasa syukur dan gembiranya apabila diundang beraksi dalam Konsert Mega Zikir Terapi 4 Palestine: Harmony for Humanity Live @ Istana Budaya pada 5 Januari depan.
Menurut Bienda, dia tidak pernah meninggalkan bidang nyanyian dan tawaran ini julung kalinya diterima selepas lama menyepi.
“Saya memang rindu kerana dah lama tak menyanyi. Saya sebenarnya dah lama tak menyanyi dalam persembahan terbuka dan ini kira ‘comeback’ juga untuk saya dalam industri.
“Terima kasih kepada Dr Fitri Haris dan isterinya El yang menjemput saya untuk terbabit sama. Ia adalah sesuatu yang besar membabitkan ramai artis lain. Saya sangat gembira bercampur gemuruh dan berharap konsert ini dapat beri manfaat dan kebaikan untuk semua.
Bienda yang popular menerusi lagu Penantian berkata, ramai yang salah faham menganggap dia sudah bersara sedangkan dia sebenarnya menanti tawaran untuk menyanyi.
“Mungkin dulu saya bermula dengan nasyid. Semasa zaman nasyid, saya rapat dengan Rabbani dan Allahyarham Ustaz Asri banyak bawa saya buat show. Bila keluar dengan album solo, tawaran itu dah kurang.
Mengulas berkenaan single terbaru, Bienda berkata, perkara ini juga dalam perancangan.