Tidak menyembunyikan dan mengaku secara terbuka dirinya ialah seorang perokok tegar selama beberapa dekad, bintang Bollywood Shah Rukh Khan akhirnya mengumumkan dia telah berhenti daripada tabiat itu.
Mengumumkan ketika acara meet-and-greet bersama peminat yang diadakan ketika hari jadinya, Shah Rukh Khan berkata keputusannya itu disebabkan masalah kesihatan yang dialami.
Tekad untuk berhenti, Shah Rukh Khan memberitahu kesan daripada merokok membuatkan dia mengalami kesukaran untuk bernafas dengan normal.
“Saya ingat saya tidak alami kesukaran untuk bernafas jika berhenti merokok. Tetapi ia masih sama. Tolong doakan yang terbaik untuk saya, semoga semuanya baik-baik sahaja. InshaAllah.”
Sebelum ini dalam sebuah temu bual lama, Shah Rukh Khan mengejutkan orang ramai apabila dia berkongsi tentang gaya hidupnya. Dedahnya, dia pernah menghisap 100 batang rokok sehari.
“Saya menghisap kira-kira 100 batang rokok sehari. Saya tak makan dan tak minum air kosong. Saya ambil kira-kira 30 cawan kopi hitam dan saya masih lagi ada six-pack.”
Keputusan Shah Rukh Khan untuk berhenti merokok bukan sahaja kerana masalah kesihatan, malah untuk anak-anaknya juga.