Adakah kamu tahu, sebelum berkahwin dengan Kajol, Ajay Devgn pernah menjalinkan hubungan dengan aktres Karisma Kapoor?
Ketiga-tiga mereka ialah bintang terkenal era 90-an, didakwa terperangkap dalam cinta tiga segi. Tetapi mereka tidak mengesahkan dakwaan tersebut, terutamanya Karisma Kapoor dan Ajay Devgn.
Pernah suatu ketika, tersebar khabar angin bahawa Ajay dan Karisma bakal berkahwin. Khabar ini muncul selepas peminat melihat kedua-duanya sangat rapat sejak penggambaran filem ‘Jigar’ arahan Farogh Siddiqui.
Selepas ‘Jigar’, mereka turut membintangi beberapa filem bersama seperti ‘Suhaag’, ‘Dhanwaan’ dan ‘Sargam’. Sepanjang menjalani penggambaran tersebut, kedua-duanya menghabiskan banyak masa bersama dan menjadi sangat rapat.
Tetapi hubungan mereka tidak kekal lama sebaik sahaja Kajol muncul dalam kehidupan Ajay menerusi filem ‘Hulchul’ 1995. Apabila bertemu dengan Kajol, Ajay tak menafikan yang dia tertarik dengan sifat ceria aktres itu.
Ketika membintangi filem ‘Hulchul’, Kajol dilaporkan menjalinkan hubungan dengan Kartik Mehta, tetapi hubungan mereka putus di tengah jalan.
Sebagai rakan baik, Ajay dan Kajol sering membincangkan masalah mereka dan menghabiskan masa bersama. Ini membuatkan hubungan mereka menjadi lebih rapat daripada biasa.
Menurut beberapa laporan, Karisma dan Ajay memutuskan hubungan selepas aktres itu berang mendengar suara wanita ketika menelefon Ajay. Ketika itu, Kajol dan Ajay sedang duduk bersama.
Sejak daripada itu, Ajay menerima dengan terbuka hubungannya dengan Kajol dan kedua-duanya mendirikan rumah tangga pada Februari 1999. Ajay dan Kajol mempunyai dua orang anak iaitu Nysa Devgn dan Yug Devgn.