Nampaknya penyanyi legenda Dato’ Jamal Abdillah bakal menghadiahkan sesuatu buat peminatnya pada bulan September nanti. Semalam sebuah sidang media diadakan mengumumkan bahawa penyanyi berusia 64 tahun ini bakal mengadakan konsert berskala besar menerusi Jamal Abdillah Live in Concert.
Jamal Abdillah Live In Concert yang dijadualkan berlangsung pada 9 September 2023 ini akan berlangsung di Plenary Hall, KL Convention Centre.
Sudah pastinya ia akan menjadi sebuah konsert yang dinanti-nantikan oleh seluruh peminat Jamal di Malaysia mahupun dari luar negara.
Konsert yang dianjurkan oleh Shiraz Projects ini sudah pastinya menjadi sesuatu yang dinanti-nantikan oleh pihak mereka. Menurut Pengarah Urusan, Shirazdeen Karim , berkata dia sudah lama membuat tawaran kepada Jamal dan akhirnya beliau bersetuju.
“Jamal adalah satu jenama yang cukup kuat dalam industri muzik tempatan dan figura yang sinarnya tidak pernah padam.Karakter serta pesona Jamal sendiri sudah cukup kuat untuk menarik peminat datang dan mereka juga tidak pernah jemu untuk menonton persembahannya.”- katanya kepada media.
Shirazdeen berkata, pihaknya merancang untuk menambah konsert malam kedua jika tiket konsert malam pertama ‘sold out’.
Sementara itu, Jamal menambah dia merancang untuk menampilkan dua anak, Osama Yamani, 22 dan Zaki Yamani, 17, pada konsert itu nanti. Namun pihak penganjur masih dalam perbincangan untuk membawa kedua-dua mereka memandangkan Osama dan Zaki berada dibawah label naungan sendiri.
Ketika sidang media, pihak penganjur merahsiakan artis undangan yang bakal berentap di pentas bersama dengan Jamal di konsertnya. Namun mereka memberi bayangan bahawa artis tersebut merupakan seorang penyanyi lelaki legenda. Tambahnya lagi, belum ada lagi perancangan untum membawa artis wanita untuk berduet dengan pada konsert tersebut.
Siapa agaknya, adakah Dato M. Nasir, Datuk Ramli Sarip atau Datuk Hattan? Sama-sama kita nantikan.
Jualan tiket akan mula dibuka di laman sesawang www.myticket.asia bermula esok dengan tawaran harga bermula RM255 hingga RM995.
Credit: #ApaPlan – Murai MY