Penyanyi, Shukri Zainal membuat laporan polis, terhadap individu berhubung fitnah dan ugutan diterima ke atasnya melalui laman sosial Facebook (FB).
Laporan berkenaan dibuat oleh beliau di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam jam 9 malam semalam (27 Julai), susulan fitnah dibuat seorang individu sekali gus membuat komen ugutan mahu membuka aib dirinya.
Pemilik nama penuh Mohd Shukri Azam bin Zainal Abidin ini mendakwa, kejadian itu disedarinya beberapa hari yang lalu, selepas dia memuatnaik perkongsian mengenai diskusi tentang isu semasa. Dalam topik yang dibincangkan menerusi akaun Facebook peribadinya, Shukri tidak menyebut nama mana-mana pihak.
Katanya, susulan itu, mungkin kurang rasa senang, seorang netizen kemudian meninggalkan komen untuk berjumpa dan menggugut mahu membuka aib.
“Tuduhan dan fitnah berterusan daripada seorang pemilik akaun ini, menyebabkan ramai pengikut saya salah sangka seolah-olah saya menyebut nama pihak tersebut. Tetapi sebenarnya dalam posting yang saya kongsikan adalah umum dan tidak ditujukan kepada sesiapa. Ia hanya sekadar “social experiment” tentang isu semasa bagi meningkatkan “Engagement” antara saya dan pengikut di Facebook”
“Individu tersebut terus menyerang saya di ruangan komen dan menganggap kata-kata yang saya keluarkan ini ditujukan kepadanya. Saya tidak faham kenapa individu ini mudah ‘terasa’ dengan topik yang saya bincangkan, sedangkan saya tidak menyebut mana-mana pihak. Kenapa sampai ajak jumpa dan ugut mahu buka aib saya?”- katanya kepada MURAI MY.
Justeru, laporan polis dibuat kerana merasakan dirinya terancam dengan ugutan itu.
“Selepas menerima ugutan tersebut, saya merasa kurang selamat untuk keluar rumah dan bimbang memberi kesan kepada mental saya untuk menjalani kehidupan seharian”- tambah Shukri yang mengalu pernah mengalami depresi beberapa tahun yang lalu.
Selain itu, Shukri turut membuat laporan terhadap pemilik akaun individu itu berhubung kenyataan berbaur hasutan, provokasi serta fitnah yang boleh mendatangkan ancaman bahaya.
Credit: Selebriti – Murai MY