Datin Janet Yeoh iaitu ibu kepada pelakon Tan Sri Michelle Yeoh, 60, berharap anaknya bakal mengadakan majlis resepsi di Malaysia selepas sah berkahwin dengan pasangannya Jean Todt, dekat Geneva, Switzerland, kelmarin.
Walaupun tidak dimaklumkan mengenai majlis penyatuan itu, Janet anggap ia sebuah kejutan yang dinanti-nantikan ramai termasuk dirinya kerana tahu betapa Todt cintakan Michelle.
“Anak saya memang akan sentiasa menelefon tapi dia tidak beritahu pun (berkaitan perkahwinan itu) ketika kami bercakap dalam telefon dua minggu yang lalu.
“Mungkin dia nak beri kejutan kepada saya,” katanya dalam temu bual bersama media tempatan.
Janet berkata dia juga menjadi individu yang sentiasa memujuk pasangan terbabit agar menamatkan zaman bujang dan melihat Michelle berkahwin.
“Todt melamarnya (Michelle) sudah banyak kali dan dia cuma akan ketawa serta mengatakan dirinya seronok setiap kali dilamar. Todt memang sangat cintakan dia,” katanya.
Terdahulu, majlis diraikan penuh intim itu dikongsi bekas pelumba Formula Satu (F1), Felipe Massa yang menjadi antara insan paling seronok dengan penyatuan dua sahabatnya itu.
“Selamat berkahwin, Jean Todt dan Michelle Yeoh, sayang kamu,” tulis pelumba kelahiran Brazil itu.
Lebih bermakna, majlis perkahwinan mereka turut dihadiri anak Todt dari perkahwinan terdahulu yang dikenali sebagai Nicholas.
Michelle dan Todt bertemu buat kali pertama pada 4 Jun 2004 di Shanghai Grand Prix dan kemudian mengikat tali pertunangan pada 26 Julai 2004.
Credit: Selebriti – Murai MY